Itulah yang kaedah yang ditunjukkan oleh program Oil Palm For Life (OPAL), di mana bekas penagih dadah diambil bekerja di ladang, berbanding mengupah pekerja warga asing, dan pada masa sama memberi peluang kedua kepada golongan bekas penagih dadah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim, berkata peringkat pertama melibatkan 1,000 pelatih di bawah Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) yang akan ditempatkan di FELDA seluruh negara secara berperingkat.
“Ia akan bermula pertengahan Mac ini, dengan seramai 50 pelatih ditempatkan di FELDA Serting, Negeri Sembilan.
“Mereka akan mendapat skim gaji yang sama (dengan pekerja sedia ada), serta mendapat kemudahan asrama dan faedah kesihatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Razali berkata, program itu adalah usahama Unit Perancangan Ekonomi, FELDA, AADK dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP).
Katanya, selain bekerja di ladang, pelatih juga akan menjalani program kerohanian dan membantu bekas penagih memperoleh peluang kedua membina kehidupan.
“Selepas itu terpulang kepada mereka untuk teruskan atau tidak. Ini juga untuk berlaku adil kepada majikan,” katanya lagi.
Razali berharap program itu akan diperluaskan dan melibatkan syarikat perladangan lain seperti Tabung Haji dan Sime Darby.
Katanya lagi, walaupun sudah dirancang sejak lima bulan lalu, pelaksanaan OPAL kena pada masanya pada saat isu buruh asing hangat diperkatakan.
“Ini adalah sumbangan kecil tetapi tetap signifikan untuk menangani isu (tenaga kerja), berbanding terus bercakap dan tak berkesudahan,” katanya lagi.
