Ariff: Melayu perlu betulkan pemikiran, politik

Ariff: Melayu perlu betulkan pemikiran, politik

Tiada bangsa akan mengangkat bangsa Melayu sebagai contoh teladan umat wasatiyyah sekiranya mereka terus bertolak-ansur dengan penyelewengan dan mutu pemimpin

arif-sabri

KUALA LUMPUR:
Tiada bangsa akan mengangkat bangsa Melayu sebagai contoh teladan umat wasatiyyah sekiranya mereka terus memuliakan rasuah dan menyerang penentang rasuah dan salahguna kuasa, kata Ahli Parlimen Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz memberi amaran dalam muatnaik terbaru di blog beliau.

“Isu derma RM2.6 billion belum selesai kecuali semua orang Melayu adalah bangsa yang tidak ada nilai-nilai murni dan mulia.”

Beliau tertanya-tanya nasib orang Melayu, memandangkan mereka dipimpin seorang Perdana Menteri yang berdepan dengan 1,001 tuduhan rasuah dan merelakan seorang bekas Perdana Menteri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun dihina.

“Bererti orang Melayu suka menyebelahi pihak yang jahat. Dan pada golongan seperti ini, kita meletakkan masa depan negara kita?”

“Ada menteri kata OSA (Akta Rahsia Rasmi) perlu untuk buat kerja. Adakah undang-undang digunakan untuk melindungi kesalahan dan salah laku? Jika ya, maka ada yang tidak betul pada undang-undang yang demikian.”

Ahli Parlimen itu memetik perihal perlantikan Ahmad Bashah di Kedah dan kebanjiran warga Bangladesh sebagai satu lagi contoh generasi Melayu masa kini tidak secerdik generasi Melayu terdahulu.

“Apa special sangat mengenai Bangla ini selain dari menjadi keasyikan kepada gadis-gadis Melayu memandang mereka?”

“Sebab yang sebenar ialah kerana gaji yang dibayar rendah dan ada pihak yang buat duit membawa masuk perkerja asing.”

Orang Melayu, kata Ariff, perlu prihatin dengan kebanjiran pekerja asing memandangkan mereka merampas kerja-kerja yang sepatutnya pergi kepada anak watan, mewujudkan budaya asing dan menghantar balik berbilion Ringgit setiap tahun ke negara asal.

“Bangladesh dan pekerja asing dibawa masuk kerana bangsa Malaysia tidak suka melakukan kerja 3D – dirty (kotor), dangerous (bahasa) and difficult (susah)…Tapi berapa ratus ribu anak bangsa Malaysia yang melakukan kerja 3D di Singapura dan lain-lain negara?”

Perlantikan Ahmad Bashah satu lagi perkara yang menunjukkan bahawa bangsa Melayu sedia dan rela bertolak-ansur dengan mutu yang tidak berapa baik (mediocre) atau koro (dungu, bodoh dan lembap).

“Mereka (generasi Melayu terdahulu) faham konsep meritokrasi yakni meletakkan seseorang pada jawatan nya sesuai dengan kelayakan nya. Jika tidak maka, rosak masyarakat.”

“Jika kita bertolak ansur dengan taraf sekadar memuaskan (decent standards), maka rosaklah bangsa Melayu.”

Arif berasa letih dengan hujah-hujah mempertahankan kelayakan Menteri Besar Kedah yang baharu. Beliau memberi amaran:

“Jika kita orang Melayu enggan mendesak pemakaian piawai (standard) yang tinggi, maka bersediakah kita menerima hasil yang tidak berapa baik.

“Jika kita enggan menjodohkan sesuatu amanah/urusan itu dengan orang yang setimpal layaknya, maka hasil nya, ialah mutu yang tidak berapa baik (mediocrity).”

“Kita tuai apa yang kita semai, dan orang Melayu bila sudah sedar pun tidak mahu membetulkan kesilapan mereka.”

Dalam kesimpulan beliau, Ariff mengesali pelbagai kenyataan daripada kepimpinan UMNO dan berasa ia tidak boleh dibiarkan berlalu begitu sahaja.

“Rakyat kita diugut, dipicit, dibuli dan kecerdikan mereka dihina (insult their intelligence), tapi mereka tetap sokong pihak yang melakukan angkara durjana keatas mereka.

“Penghinaan kecerdikan kita mesti diberhentikan. Menteri dan pegawai kerajaan berhentilah dari mengeluarkan kenyataan bodoh.”

Ariff berasa tiada manfaat mengangkat pemimpin sebegitu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.