AMANAH tidak gusar ahli mahu kembali kepada PAS

AMANAH tidak gusar ahli mahu kembali kepada PAS

Tindakan menukar parti merupakan perkara biasa, malah ia merupakan hak asasi individu untuk membuat pilihan.

amanah
PETALING JAYA: Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak gusar sekiranya ahli mereka mahu menyertai semula parti PAS.

Pengerusi AMANAH Kelantan, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah berkata, sebagai negara demokrasi tindakan keluar parti dan menyertai parti baharu merupakan perkara biasa.

“Kalau benda itu (ahli AMANAH sertai PAS) itu perkara biasa, sebab kita mengamalkan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Kalau nak masuk PAS keluar AMANAH, kerana ini bukan akidah.

“Jadi tak pelik nak DAP ke perkara biasa sahaja, saya pun kalau nak keluar AMANAH nak masuak DAP pun tiada sapa boleh sekat. Rakyat bebas membuat pilihan kerana memilih parti merupakan hak asasi rakyat,” katanya kepada FMT.

Bekas Speaker negeri Kelantan itu berkata, khabar angin kononnya ahli AMANAH bakal menyertai kembali PAS belum pasti statusnya sama ada benar ataupun tidak kerana pendedahan itu tidak dibuat secara jelas.

“Dia masuk AMANAH itu tak tahu status bagaimana, adakah dia sudah membuat permohonan mengisi borang, atau sudahkah pimpinan AMANAH pusat meluluskan permohonan itu. Jadi kita tak ada maklumat jadi kita nak bagi respon tepat tak boleh.

“Tetapi kalau ada maklumat tepat, kita boleh keluarkan kenyataan tepat, sama ada mereka hanya penyokong AMANAH atau baharu menyatakan hasrat untuk menyertai AMANAH,” ujarnya lagi.

Terbaru, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah mengesahkan terdapat ahli AMANAH yang mahu kembali kepada parti itu namun, mengatakan terlalu awal untuk mengumumkannya secara rasmi.

Malah, perkara sama juga pernah dibangkitkan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan apabila menyatakan mereka mempunyai bukti berhubung perkara berkenaan.

“Jika benar ahli AMANAH sertai kembali PAS ia tidak akan menjejaskan AMANAH, kerana parti ketika ini sudah mula diterima rakyat dan bergerak maju ke hadapan,” tambah Wan Rahim.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.