Malah, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRRIM), Amir Amsaa Alla Pitchay bimbang jika debat itu membawa perpecahan dalam kalangan umat Islam.
“Debat ini tidak akan membawa apa-apa manfaat atau faedah kepada orang Islam.
“Melalui debat antara satu sama satu dalam isu agama Islam oleh orang yang arif dalam agama akan membawa kepada sikap bangga diri dan ego, di mana Nabi Muhammad SAW tidak mengajar seseorang bangga diri untuk buktikan siapa yang sebenarnya lebih arif dan bijak tentang agama, ” katanya kepada FMT.
Sehubungan itu, beliau medesak kedua-dua agamawan itu membatalkan hasrat untuk berdebat kerana banyak lagi cara lain untuk mencari kebenaran.
“Sebagai ustaz atau mufti, mereka kena jadi teladan kepada umat Islam bukan debat tentang Islam yang akan membawa keraguan dalam Islam. Kami juga mendesak supaya batalkan debat demi rakyat dan Islam,” katanya.
Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata debat tersebut tidak perlu dilaksanakan kerana dalam sebuah negara Islam perkara yang boleh menyebabkan permusuhan dan persengketaan sesama Islam perlu dielakkan.
Zamihan dan Asri setuju untuk berdebat secara tertutup pada 17 Feb ini di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya dan setiap pendebat boleh menjemput 50 peserta.