1.5 juta Bangladesh jumlah daftar, bukan kemasukan

1.5 juta Bangladesh jumlah daftar, bukan kemasukan

Pengambilan tertakluk kepada permintaan industri bagi sektor yang dibenarkan untuk menggajikan pekerja asing selaras dengan konsep permintaan (demand) dan penawaran (supply)

pekerja-asing-KDN

PETALING JAYA:
Angka 1.5 juta pekerja Bangladesh yang mendapat liputan luas di dalam media sebenarnya merupakan jumlah warga Bangladesh yang berdaftar dengan pemerintah Bangladesh untuk tujuan pekerjaan, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam satu kenyataan.

Bagi meredakan kebimbangan orang-ramai, KDN menjelaskan bahawa pengambilan pekerja warga Bangladesh itu tertakluk kepada permintaan industri, dan terhad kepada sektor-sektor tertentu.

“Pekerja asing ini hanya dibenarkan bekerja di lima (5) sektor formal yang dibenarkan untuk menggaji pekerja asing sahaja iaitu sektor pembinaan, perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Pengambilan itu bertujuan memberi pilihan tambahan kepada majikan untuk menggajikan pekerja selain daripada 14 negara sumber sedia ada yang lain.

“Tiada satu angka yang mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kelak kerana ianya akan bergantung kepada keperluan sebenar majikan semasa permohonan dibuat,” menurut kenyataan itu lagi, “dan akan dinilai berdasarkan kelayakan serta kemampuan setiap majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Kerajaan.”

Menurut KDN, mekanisme itu akan dipantau melalui Agensi Kawal Selia untuk setiap sektor bagi mengelakkan kebanjiran pekerja asing.

Kenyataan itu juga sukacita mengumumkan Putrajaya dan Dhaka akan menandatangani cadangan memorandum persefahaman mengenai penggajian pekerja warga Bangladesh melalui mekanisme Kerajaan kepada Kerajaan Plus (G-to-G Plus).

Konsep G-to-G Plus itu menggunakan sepenuhnya sistem atas talian bermula proses permohonan pekerja, bagi mengawal penglibatan agen tidak sah yang menyumbang kepada kenaikan kos penggajian, di samping merendahkan cost of doing business kepada majikan.

“Kerajaan juga berpandangan bahawa mekanisme ini juga akan menaikkan penarafan Malaysia di dalam usaha-usaha pencegahan terhadap aktiviti-aktiviti jenayah pemerdagangan orang,” menurut kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.