Najib tiada wibawa di mata tokoh wartawan

Najib tiada wibawa di mata tokoh wartawan

Seorang pemimpin itu dianggap gagal apabila rakyat mulai berprasangka terhadap pemerintahannya dan mencurigai kebolehpercayaannya.

kadir,najib

KUALA LUMPUR:
Bagaimana tokoh wartawan, A Kadir Jasin melihat sosok Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri?

Di mata tokoh wartawan itu, bukan sahaja anak Tun Razak itu tiada wibawa, bahkan tidak berhikmah jika dibanding dengan pemimpin sebelumnya.

Beliau menjelaskan seorang pemimpin itu dianggap gagal apabila rakyat mulai berprasangka terhadap pemerintahannya dan mencurigai kebolehpercayaannya.

“Tunku Abdul Rahman adalah Perdana Menteri pertama kita. Beliau yang melaungkan merdeka, tetapi 13 tahun kemudian,beliau menyedari beliau tidak lagi boleh memerintah. Kuasa beliau dicabar dan akhirnya mengundur diri.

“Beliau tidak menjahanamkan UMNO dan negara semata-mata untuk kekal. Ia bermaksud, pemimpin itu mempunyai kesedaran sendiri, ada budi, ada iman, ada kebijaksanaan,” ujarnya dalam wawancara eksklusif bersama FMT.

Menjadi orang media sejak 1969 hingga 2000, bekas pemberita BERNAMA dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press ini antara yang lantang mengkritik Najib dan pentadbiran beliau.

Tidak terhenti pada Tunku, Kadir turut mengambil contoh Tun Hussein Onn yang secara sukarela melepaskan jawatannya kerana mempunyai masalah kesihatan dan kebesaran hati Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Itu adalah kebijaksanaan seorang pemimpin demokrasi. Mereka tidak mahu merosakkan negara dan juga parti, dan itu juga dilakukan oleh banyak pemimpin luar negara apabila rakyat sudah meragui kepimpinan mereka,” kata beliau.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.