MTUC terima levi naik asalkan majikan bayar

MTUC terima levi naik asalkan majikan bayar

Majikan tidak berlaku adil pada pekerja tempatan dan asing, terlalu tumpu pada keuntungan.

foreign workers

PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyambut baik kenaikan levi pekerja asing disambut baik hanya jika ia ditanggung oleh majikan, kata Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Krishnam.

Dihubungi FMT, Gopal berkata adalah tidak adil sekiranya pekerja diminta menanggung levi itu, kerana yang patut membayarnya adalah pihak majikan.

Levi pekerja asing diperkenalkan pada 1992 berikutan perbelanjaan yang ditanggung kerajaan dalam menyediakan kemudahan umum seperti klinik, jalanraya dan prasarana awam lain yang dinikmati oleh warganegara.

“Sehingga 2012, majikan membayar levi tetapi kerajaan mengubah peraturan itu kerana dasar gaji minima diperkenalkan, bagaimanapun langkah itu adalah tidak betul.”

Gopal berkata kerajaan haruslah mengubah dasar pekerja membayar levi pada ketika ini, dan bukan dalam masa dua tahun lagi, seperti yang dipersetujui dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Isu utama ialah majikan berlaku tidak adil kepada pekerja tempatan dan asing. Mereka terlalu tumpu pada keuntungan.

“Sebenarnya orang tempatan juga boleh melakukan kerja yang sukar (difficult), kotor (dirty) dan membahaya (dangerous) tetapi mereka tidak dibayar kadar gaji yang sewajarnya untuk melakukan kerja-kerja itu.”

Bagi menguatkan hujahnya, Gopal berkata ramai rakyat Malaysia melakukan kerja-kerja seperti itu di Singapura secara harian, menghabiskan berjam-jam atas jalanraya, dan berulang-alik.

Meskipun bersusah-payah, Gopal menjelaskan bayaran yang berbaloi mendorong ramai rakyat Malaysia memilih kerja itu, selain faktor persekitaran tempat kerja dan aspek keselamatan yang lebih baik.

Beliau menambah kebanyakan majikan di Malaysia gemar menggunakan pekerja asing lantaran terdapatnya lebihan buruh asing. Gaji mereka itu, meskipun sepadan atau lebih tinggi daripada gaji minima masih rendah berbanding kadar pasaran untuk pekerja tempatan.

Gopal menjangkakan levi pekerja asing yang tinggi bakal menguja permintaan untuk pekerja tempatan. Pekerja asing pula akan terkesan kerana mereka terpaksa membayar untuk datang bekerja di negara ini.

Pada Ahad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kenaikan levi itu bermula 1 Februari. Kenaikan itu akan menyaksikan Putrajaya meraih sekitar RM2.6 bilion dalam bentuk pendapatan. Ramai dalam kalangan komuniti peniaga membantah langkah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.