FMT diberitahu para Adun BN sudah berkampung di situ tiga hari lalu. Dalam situasi hari ini, mereka bermesyuarat sejak jam 1 tengah hari dan sehinggalah jam 12 tengah malam, situasi di Kedah masih menjadi tanda tanya.
ADUN Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Mat Zain ketika diserbu pemberita sekadar mahu menjawab ringkas.
“Saya bersetuju isu ini tak patut berlanjutan. Patut diselesaikan secepat mungkin, harap dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya sebelum terus menaiki lif untuk menghadiri perjumpaan tertutup berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar mengumumkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang sepatutnya bersidang pada Rabu ditangguhkan.
“Ditangguh,” jawabnya ringkas kepada kumpulan pemberita.
Tajul, yang dikejar pemberita semasa beliau keluar daripada mesyuarat tertutup, berkata mesyuarat EXCO itu akan ditangguhkan ke satu masa yang lain, tanpa mahu mengulas panjang.
27 Januari yang lalu, MMKN Kedah hanya dihadiri Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan tiga EXCO iaitu Datuk Amminuddin Omar, Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd Noor.
Enam lagi Exco tidak hadir dalam mesyuarat itu, difahamkan angkara krisis kepercayaan terhadap Mukhriz. Adalah difahamkan bahawa MMKN memerlukan kehadiran sekurang-kurangnya empat EXCO untuk dianggap sah.
Tidak lama kemudian, Mukhriz mengumumkan Istana Kedah berasa tersinggung dan murka dengan kacau ganggu keatas urustadbir Kerajaan Kedah.
