Selepas giliran Adun daripada blok pemerintah hari ini, kesemua 15 wakil rakyat pembangkang – lapan Adun PAS, empat Adun PKR, dua DAP dan satu AMANAH – akan hadir ke pertemuan itu yang diadakan di Wisma Darul Aman, pada jam 2.30 petang.
Meskipun tiada pendirian sepakat antara pembangkang dinyatakan, Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar membayangkan penolakan kepada usaha menyingkirkan Menteri Besar Kedah.
“Langkah Najib sangat tidak wajar, hanya semata-mata nak hapuskan musuh politik mereka, Mukhriz,” tegas Mahfuz ketika ditemui pemberita di perkarangan Stadium Darul Aman bersama ribuan rakyat Kedah yang mahu anak Tun Dr Mahathir Mohamad dikekalkan.
“Tolong bagitahu apa kesalahan Mukhriz sehingga menyusahkan rakyat Kedah, apa masalahnya? Adakah kesalahannya lagi besar dari Najib?”
Perkembangan ini menyusuli pertemuan tertutup selama dua jam antara Jemaah Pemangku Sultan Kedah dengan 20 Adun Barisan Nasional, dimana 19 daripada mereka telah menandatangani akuan berkanun mahu Mukhriz disingkirkan. Hanya Adun Jitra, Aminuddin Omar, dilaporkan tidak menandatangani akuan itu.
Tiada kata putus berhubung krisis Menteri Besar ini diumumkan setakat ini.