Memetik tulisan Ooi Kok Hin bertajuk ‘The rise and rise of Muslim politics’ dalam laman New Mandala, penerimaan ‘Muslim dahulu’ membentuk identiti politik yang paling menonjol di Malaysia pada saat ini.
“Semakin ramai orang Melayu yang menganggap diri mereka Muslim dahulu,” katanya merujuk kepada tinjauan Merdeka Center pada 2015 yang menunjukkan 60 peratus orang Melayu menganggap diri mereka sebagai Muslim dahulu, diikuti 27 peratus sebagai rakyat Malaysia dan hanya 6 peratus sebagai Melayu.
Penemuan itu mengimbau hasil daripada peninjau pendapat awam yang sama pada 2006, yang mendapati 61 peratus orang Melayu menganggap diri mereka Muslim dahulu.
“Isu keagamaan akan dijadikan keutamaan jika trend ini berterusan. Ahli politik yang ingin meraih undi juga akan menggunakan bahasa politik Islam dan cenderung ke arah sisi agama dalam sesuatu isu,” kata penganalisis dari Penang Institute itu.
Katanya lagi, keadaan ini turut diperkuatkan dengan pengurangan undi golongan bukan Melayu dan bukan Muslim ekoran pengurangan populasi golongan itu secara mendadak berbanding pada tahun 1957.
“Pada tahun 1957, populasi kaum Cina adalah 38 peratus. Tidak sampai 60 tahun, peratusan itu berkurangan separuh.
“Perubahan demografi ini membawa kepada pengurangan pengaruh dan perwakilan politik. Daripada 222 kerusi parlimen, hanya 22 adalah kerusi majoriti Cina dan 29 kerusi campuran. Malah tiada satu pun kerusi majoriti kaum India,” katanya lagi.
Katanya lagi, campuran dua faktor ini; kesedaran agama yang kian tinggi dan populasi golongan bukan Islam yang semakin menurun; semuanya akan menghakis nilai undi golongan bukan Islam dan bukan Melayu.
“Kuasa undi mereka berkurangan apabila mereka tidak dapat lagi memainkan peranan penting menentukan pemenang. Misalnya parti politik tentunya akan hilang semua undi bukan Muslim jika mereka memainkan isu Hudud.
“Tetapi dalam pilihan raya di mana majoriti pengundi adalah Muslim dan isu utama mereka adalah undang-undang itu, maka amat rasional (untuk parti politik) mengesampingkan undi golongan bukan Islam,” katanya lagi.
Tegasnya lagi, identiti Muslim yang semakin menebal ini bakal membuatkan politik Islam mengambil pentas utama politik negara, manakala wacana politik menggunapakai bentuk dan terma politik Islam.
Namun, persoalan yang ditimbulkan ialah, jika masa depan Malaysia ditentukan dan bergantung kepada politik Islam, apakah ‘bentuk’ Islam yang akan digunakan.
“Masa depan Malaysia ditentukan dan bergantung kepada politik Islam. Tetapi jenis yang mana? Yang lebih lembut atau drakonian? Yang progresif dan terbuka, atau yang tidak toleran dan konservatif?” soalnya.