Hudud: Dua pemimpin PAS tidak layan gesaan Husam suruh lepas jawatan

Hudud: Dua pemimpin PAS tidak layan gesaan Husam suruh lepas jawatan

Ia merupakan satu tuduhan tidak berasas dan tidak akan dilayan

Datuk-Nik-Mohd-Amar-Nik-Abdullah,husam-musa

PETALING JAYA:
Gesaan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang mahu agar Naib Presiden PAS, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah melepaskan jawatan tidak akan dilayan.

Menurut Nik Mohd Amar, langkah Husam yang menggesa agar beliau dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan meletak jawatan kerana mendakwa mereka gagal membawa usul pindaan Akta 355 berkaitan hudud ke Parlimen sebagai tuduhan tidak berasas.

“Kita akan bawa usul ke Parlimen, gagal tidak gagal selepas itu, bukan tanggungjawab.

“Saya juga boleh tanya dia (Husam) balik, dia juga pernah gagal membabitkan beberapa perkara, kenapa tidak letak jawatan?,” soalnya lapor Sinar Harian Online.

Menjawab tuduhan Husam kononnya matlamat parti berkenaan untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai mainan politik, Mohd Amar menyifatkan ia juga adalah perkara yang tidak berasas.

Bidasnya, Husam sepatutnya sedar bahawa matlamat PAS untuk melaksanakan hukum hudud bukan mainan politik sebaliknya menjadi perjuangan parti itu sejak dahulu lagi.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan Husam supaya berhenti daripada menjadi alat kepada DAP dengan mengeluarkan kenyataan bodoh dengan mempersoalkan perjuangan PAS.

“Saya nasihatkan Husam jangan jadi lidah DAP dengan memanjangkan apa yang dikatakan parti itu sebelum ini,” ujarnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.