Hannah: Dihalang berucap, satu pengajaran buat Muhyiddin

Hannah: Dihalang berucap, satu pengajaran buat Muhyiddin

Hannah Yeoh tidak bersimpati dengan nasib yang menimpa Muhyiddin kerana beliau juga pernah bertindak serupa terhadap wakil ahli politik pembangkang ketika menjadi Menteri Pendidikan suatu masa dahulu.

hannah-yeoh-muhyiddin
PETALING JAYA: Situasi yang menimpa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila dihalang oleh pihak tertentu daripada berucap dalam acara sukan Sekolah Menengah Kebangsaan USJ4 semalam diharap menjadi satu pengajaran kepada beliau.

Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh tidak bersimpati kepada nasib yang menimpa Muhyiddin Yassin sebaliknya menyatakan beliau juga pernah bertindak serupa terhadap wakil ahli politik pembangkang apabila menjadi Menteri Pendidikan suatu masa dahulu.

“Muhyiddin dihalang daripada berucap pada majlis di sebuah sekolah di USJ4? Selamat datang ke ‘kelab’ kami.

“Pakatan Harapan berhadapan dengan situasi ketidakadilan tersebut sejak tahun 2008 lagi,” katanya dalam satu muatnaik status di Facebooknya.

Hannah yang juga ADUN Subang Jaya mengakui, masih tidak dibenar menghadiri acara sekolah walaupun ia membabitkan perkara yang tidak berkaitan dengan politik.

Justeru, Hannah berharap semua sekolah bebas daripada sebarang agenda dan kawalan politik.

“Jika saya mahu menyampaikan sumbangan berupa cek kepada mana-mana sekolah, saya perlu melakukannya di luar pintu pagar sekolah itu. Ketika itu Muhyiddin menjadi Menteri Pelajaran.

“Saya harap mereka sedar bahawa sekolah tidak boleh digunakan sebagai alat politik dan saya akan mengulangi lagi pendirian kami selama ini, bebaskan sekolah daripada genggaman politik!”

Muhyiddin digugurkan dari jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pelajaran dalam rombakan kabinet pada Julai lalu berikutan kritikan beliau terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkenaan skandal kewangan.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.