Seorang lagi individu yang turut tersenarai adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay.
Menerusi wawancara khas dengan akhbar berbahasa Cina, China Press yang diterjemahkan oleh sebuah laman portal, Ayub menjelaskan, dirinya dan Najib telah dilihat oleh Penyokong IS sebagai musuh malahan, turut didakwa sebagai pengkhianat agama.
Katanya, keadaan itu telah menyebabkan Najib dan dirinya menerima ugutan maut daripada kumpulan pengganas selain, terdapat penyokong IS tertentu mengugut melalui media sosial apabila mahu beliau dan Najib berhenti melancarkan usaha menentang pengganas.
“Setahu saya, Perdana Menteri dan menteri tertentu yang menyokong usaha menentang pengganas turut menerima ugutan serupa,” katanya.
Dalam pada itu, Ayub berkata, polis juga bimbang kemungkinan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di Timur Tengah terpengaruh dan menyertai aktiviti pengganas di negara-negara berkenaan.
Katanya, polis pernah menyeru perwakilan Malaysia di Timur Tengah supaya mengawasi gerak-geri pelajar Malaysia.
Beliau bagaimanapun mengakui usaha itu tidak mudah dilaksanakan kerana ramai pelajar tidak berdaftar dengan pihak kedutaan.