Faekah sebelum ini menyerang kepimpinan PKR susulan kenyataan Datuk Johari Abdul bahawa PKR lebih tertib dalam menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor pada 2014 berbanding UMNO Kedah yang cuba menyingkirkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Menurut Azman, kenyataan Faekah itu hanyalah untuk mempertahankan bekas majikannya, Khalid.
“Bagi saya proses pertukaran Menteri Besar Selangor itu dilakukan mengikut perbincangan kerana Khalid (Tan Sri Khalid Ibrahim) tak ikut arahan PKR, maka kita tukar.
“Kita akur dengan keputusan Istana (Istana Selangor). Akhirnya Khalid letak jawatan dan digantikan dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya kepada FMT di Pusat Khidmat ADUN Bakar Arang, Pekan Baru.
Mengulas lanjut, pemecatan Menteri Besar Selangor berbeza dengan di Kedah kerana mendakwa Kerajaan Negeri Kedah sudah tidak wujud.
“Ini kerana Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri di Kedah sudah tidak dapat dijalankan.
“Berbeza dengan di Selangor ketika krisis dulu, Mesyuarat EXCO Negeri masih boleh dijalankan,” jelasnya.
Faekah dalam kenyataan kepada FMT menasihatkan PKR supaya menjauhkan diri daripada isu Menteri Besar Kedah bagi mengelak ‘ludah ke muka sendiri’.
“Rasanya, adalah lebih elok PKR menjauhkan diri daripada membuat sebarang komen berkaitan isu penukaran Menteri Besar di Kedah. Semakin PKR cuba untuk menunjuk baik, menunjuk pandai atau lebih tepat lagi menyibuk, semakin lucu mereka terlihat di mata rakyat kerana asyiknya mereka meludah ke muka sendiri,” kata Faekah.
