DAP dilarang campur isu Tabung Haji – Syed Ali

DAP dilarang campur isu Tabung Haji – Syed Ali

Parti itu didakwa cuba mempengaruhi orang Melayu supaya tidak mempercayai peranan dan kredibiliti Tabung Haji.

syed-ali
PETALING JAYA: DAP didakwa sengaja mengembar-gemburkan isu Tabung Haji (TH) untuk mencemarkan reputasi institusi berkenaan yang menjadi payung kepada umat Islam.

Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, berkata DAP secara tidak langsung seperti cuba mencampuri urusan TH dengan mengeluarkan kenyataan meragukan menerusi laman sosial.

Katanya, DAP seolah-olah seperti cuba mempengaruhi orang Melayu supaya tidak lagi mempercayai peranan dan kredibiliti TH.

“Ini semua niat jahat DAP, mereka mahu runtuhkan keyakinan orang Melayu terhadap TH yang membabitkan kepentingan umat Islam.

“Oleh sebab itu, DAP cuba campur tangan dalam isu TH, walhal tiada sebarang kecelaruan yang berlaku dalam institusi berkenaan,” katanya menerusi blog beliau, http://umnobahagiancheras.blogspot.my/, hari ini.

Beliau mendakwa, DAP akan menggunakan apa sahaja untuk menghancurkan penyatuan dan perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Syed Ali Alhabshee berkata, DAP tidak perlu untuk menjadi ‘jaguh tidak diundang’ dalam urusan bersangkutan dengan kepentingan Melayu.

“Apabila DAP cuba mencampuri urusan TH, seolah-olah mereka ada agenda tersendiri untuk menjahanamkan institusi berkeaan yang sekaligus akan merugikan orang Melayu,” tegasnya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.