Pemimpin terima hadiah perbuatan khianat – Khairuddin

Pemimpin terima hadiah perbuatan khianat – Khairuddin

Hadiah tersebut didakwa merujuk kepada derma RM2.6 bilion yang dimasukkan kedalam akaun peribadi Perdana Menteri.

Mohd-Khairuddin_apandi-ali_najib_600

PETALING JAYA:
Perbuatan pemimpin kerajaan menerima hadiah adalah satu perbuatan pengkhianat atau rasuah mengikut pandangan Islam.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali merujuk kepada derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, Perdana Menteri tidak akan memperolehi sumbangan sebesar itu sekiranya beliau tidak menjadi ketua kerajaan.

“Kaedah Islam menyatakan, hadiah kepada gabenor atau pegawai kerajaan adalah harta khianat atau rasuah.

“Pemberian itu adalah kerana PM berjawatan PM. Sekiranya beliau orang biasa tentulah tidak akan diberikan sumbangan yang sebesar itu,” katanya kepada FMT.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu berkata tindakan Perdana Menteri memulangkan lebihan sumbangan yang diberikan penderma adalah tepat, walaupun gagal menyakinkan rakyat tentang hakikat sebenar sumbangan tersebut.

“Kerajaan (pimpinan Datuk Seri Najib) sedang berhadapan dengan defisit keyakinan rakyat dan juga pelabur asing yang memberi kesan kepada kestabilan politik dan ekonomi negara. Kerajaan perlu segera membetulkan perkara ini,” katanya.

Ketika ditanya, adakah PAS sedia melakukan kerjasama politik dengan UMNO susulan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyifatkan Perdana Menteri bersih daripada skandal dana RM2.6 bilion serta SRC International.

“PAS tetap bekerjasama dengan semua pihak termasuk UMNO dan kerajaan dalam perkara yang melibatkan maslahat Islam dan rakyat serta terus menegur kesilapan dan kemungkaran pemerintah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.