SPRM rujuk keputusan Peguam Negara kepada PPO

SPRM rujuk keputusan Peguam Negara kepada PPO

PPO merupakan badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009.

apandi-ali,sprm

PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan merujuk keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali kepada Panel Penilaian Operasi (PPO).

SPRM membuat pengumuman tersebut menerusi satu kenyataan hari ini, susulan arahan Peguam Negara mengarahkan badan itu menutup kertas kes SRC International dan dana RM2.6 bilion.

“Pengurusan Tertinggi SPRM memutuskan untuk membentangkan keputusan Peguam Negara kepada Panel Penilaian Operasi (PPO), salah satu badan bebas yang dibentuk oleh kerajaan bagi memantau perjalanan SPRM mengikut Akta SPRM 2009, untuk penilaian dan pertimbangan PPO dan sebuah panel khas yang akan dilantik.

“Salah satu terma rujukan PPO ialah memberi pendapat berhubung tindakan kes-kes yang diputuskan untuk tidak dituduh oleh Pendakwa Raya,” katanya menerusi kenyataan itu.

Badan bebas itu dianggotai bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Tan Sri Dr Hamid Bugo selaku Pengerusi; bekas Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa, Tan Sri Jawhar Hassan; bekas Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Zamani Abdul Ghani; bekas Timbalan Ketua Audit Negara, Datuk Azizah Arshad; bekas Ketua Pengarah Biro Pengaduan Awam, Datuk Wan Abdul Wahab Abdullah; Pengarah Institut Penyelidikan Perakaunan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr. Normah Omar; Pakar kaji jenayah Dr Sundramoorthy M. Pathmanathan; dan bekas Presiden Majlis Peguam, Tuan Lim Chee Wee.

Sementara itu, The Star melaporkan Pengarah Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohd Zin sebagai berkata beliau menganggap kes berkenaan sebagai “straightforward” (tidak kompleks) dan “berkemungkinan besar” SPRM akan merayu terhadap keputusan peguam negara menutup kes dana RM2.6 bilion serta SRC International.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.