Sultan, Raja Melayu bukan daripada lanun

Sultan, Raja Melayu bukan daripada lanun

Istilah lanun merupakan satu jenayah dilakukan di kawasan laut lebih tiga batu dari pantai yang merupakan kawasan yang tidak bertuan.

Prof-Emeritus-Tan-Sri-Dr-Khoo-Kay-Kim

PETALING JAYA :
Tuduhan bahawa Raja-Raja Melayu daripada lanun mengikut sejarah adalah tidak benar sama sekali.

Pakar sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata persepsi itu salah berdasarkan undang-undang British pada abad ke-19 yang menetapkan istilah lanun atau piracy.

Menurutnya, istilah piracy merupakan satu jenayah yang hanya dapat dilakukan di kawasan laut lebih daripada tiga batu dari pantai yang merupakan kawasan yang tidak bertuan.

“Bagi kawasan laut yang berhampiran dengan sesebuah kerajaan, maka adalah menjadi hak Raja boleh menyerang sebarang kapal yang lalu jika pihak yang berkenaan tidak membayar tol. Tindakan ini tidak boleh dianggap sebagai piracy.

“Jadi tuduhan bahawa Sultan dan Raja juga tidak lebih daripada pirates atau lanun adalah tidak benar,” katanya mengikut laporan Utusan Malaysia, hari ini.

Tambah Kay Kim, British ketika menjajah negara ini sangat faham terhadap sistem Kesultanan Melayu yang wujud sejak sekian lama sebelum mereka mula terlibat dalam hal ehwal kesultanan dan kerajaan Melayu.

Katanya, salah seorang pegawai British yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai masyarakat Melayu iaitu Frank Swettenham, yang mana dalam bukunya beliau menulis: “Umumnya orang Melayu adalah natures’s gentlemen tetapi tanpa Sultan atau Raja, the Malays will be just a mob.”

“Justeru, British memang faham bahawa dalam masyarakat Melayu tradisi, orang Melayu disedarkan bahawa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Jika mereka tidak mahu menunduk kepada Raja, mereka akan ditimpa daulat,” katanya.

Menurutnya, sejarah sistem kesultanan atau beraja di negara ini telah wujud sejak turun temurun walaupun terdapat campur tangan kuasa asing sewaktu dijajah pada penghujung abad ke-19.

Beliau berkata, sistem tradisional ini dapat menyerap unsur baharu menjadikan Malaysia kini mempunyai sistem monarki yang luar biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.