`Saya tak gila jawatan menteri besar’ – Ahmad Bashah

`Saya tak gila jawatan menteri besar’ – Ahmad Bashah

Beliau memberi laluan kepada Mukhriz untuk menjadi MB Kedah walaupun ketika itu beliau adalah Pengerusi UMNO Kedah dan Pengarah PRU BN

Ahmad Bashah

PETALING JAYA:
Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dirinya `gila jawatan menteri besar’.

Timbalan Pengerusi UMNO Kedah itu berkata, beliau telah memberi laluan kepada Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawat jawatan itu selepas pilihan raya umum lalu walaupun hakikatnya pada ketika itu beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi UMNO Kedah dan Pengarah Pilihan Raya Umum BN.

“Saya terima kerana itu adalah hak Perdana Menteri dan saya tak pertikaikan.

“Ia demi kekuatan dan kepentingan parti dan negara.

“Saya terima kerana pada masa itu tujuan kita adalah untuk menang dan merebut kembali kuasa di tangan pembangkang,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu menurut laporan Sinar Harian Online, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain dipetik berkata, semua ADUN di negeri itu layak dilantik menjadi Menteri Besar Kedah.

Walaupun mengakui pendidikan itu penting, namun prestasi seseorang wakil rakyat itu tidak wajar diketepikan semata-mata kerana tidak mempunyai kelulusan tinggi.

“Yang PhD (Doktor Falsafah) pun tak tentu boleh melaksanakan (tugas) dengan baik. Orang politk yang sudah melalui banyak pengalaman, yang sudah melalui naik turun mungkin paling baik.

“Kesetian kepada parti dan pucuk pimpinan adalah faktor utama,” ujarnya.

Beliau mengulas laporan media perdana kelmarin yang menyenaraikan tiga nama EXCO Kedah yang disebut-sebut sebagai calon untuk menggantikan Mukhriz sebagai Menteri Besar Kedah baharu.

Tiga nama tersebut ialah EXCO Jawatankuasa Industi dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr Ku Rahman Ku Ismail; EXCO Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid; dan EXCO Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan Kerajaan Tempatan, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Ketiga-tiga calon tersebut layak disenaraikan sekiranya Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berhadapan dengan ‘halangan’ untuk menggantikan Mukhriz.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.