Bantah TPPA: Aktivis pelajar ditahan

Bantah TPPA: Aktivis pelajar ditahan

Amir Abd Hadi ditahan kerana membuat ucapan mendesak Perdana Menteri menolak TPPA.

maria

KUALA LUMPUR:
Aktivis pelajar, Amir Abd Hadi, 26, ditahan polis berhubung ucapan yang dibuatnya di Jalan Parlimen dalam Himpunan Bantah TPPA. hari ini.

Amir, Penyelaras Projek untuk SUARAM ditahan mengikut Seksyen 105 Kanun Acara Jenayah.

Dia dilaporkan membuat ucapan mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menolak TPPA.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah mengutuk penahanan Amir itu walaupun tindakan tersebut hanya untuk siasatan.

Katanya, penahanan Amir itu tidak wajar kerana dia hanya menggunakan hak sebagai rakyat untuk bersuara.

“Kita semua mematuhi arahan polis supaya bersurai pada jam 4 petang. Kita semua ikut arahan termasuk Amir,” katanya kepada FMT.

Maria berkata, tindakan polis itu jelas salah guna kuasa dan ugutan serta mendesak Amir dibebaskan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainol Samah berkata tangkapan itu dibuat bagi mencegah kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Perhimpunan membantah TPPA diadakan di Padang Merbok telah berjalan dengan baik dan tiada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Bagaimanapun, terdapat satu tangkapan lelaki Melayu yang dibuat di jalan Tun Perak disyaki kumpulan anarki yang pihak polis tangkap sebelum ini. Tangkapan dibuat bagi mencegah kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Zainol dalam masa yang sama turut menganggarkan seramai 5,000 hingga 7,000 peserta yang hadir dalam himpunan membantah TPPA di Padang Merbok.

Dalam perkembangan terkini, Amir telah dibebaskan kira-kira jam 6.40 petang tadi selepas disoal siasat dan menjalani ujian air kencing.

tags:

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.