
Tengku Maimun, yang berkhidmat sebagai ketua tertinggi badan kehakiman dari Mei 2019 hingga 1 Julai tahun ini, berkata Mahkamah Persekutuan telah memutuskan 19 kes berkaitan Perlembagaan sepanjang tempoh itu dan beliau berada pada kedudukan minoriti sebanyak lima kali.
“Statistiknya, lima daripada 19 keputusan itu mewakili kira-kira 25% penghakiman menentang.
“Fakta itu sendiri menunjukkan hakim membuat keputusan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih, serta tanpa tekanan dari luar mahupun dalaman,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pemasyhuran 20 hakim Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata, jika benar beliau mempunyai pengaruh terhadap keputusan mahkamah atasan itu, beliau tidak akan berada pada kedudukan minoriti atau mengeluarkan penghakiman menentang sebanyak itu.
Tengku Maimun mengulas dakwaan Abdul Rahman Sebli, yang bersara sebagai hakim besar Sabah dan Sarawak pada Khamis lalu, bahawa beliau pernah berdepan tekanan daripada ‘seorang anggota kanan badan kehakiman’ untuk memutuskan memihak kepada seorang pihak yang menyaman kerajaan Persekutuan dalam satu kes Perlembagaan kontroversi.
Rahman membuat pendedahan itu dalam ucapan perpisahan kepada hakim, peguam, pegawai kehakiman, dan pegawai undang-undang di Kuching, pada Rabu.
Beliau berkata, ketika itu sebagai hakim Mahkamah Persekutuan, beliau telah menyediakan satu draf penghakiman yang diedarkan kepada enam lagi panel untuk semakan mereka.
“Tidak lama selepas itu, saya menerima e-mel daripada seorang anggota kanan badan kehakiman yang menyatakan pandangan saya berhubung isu Perlembagaan itu salah.
“Saya ketika itu merupakan hakim yang relatifnya masih junior berbanding hakim-hakim yang memberi tekanan kepada saya,” kata Rahman, sambil menambah beliau pada asasnya diminta mengikut pendirian mereka.
Namun, Rahman berkata, beliau tetap berpegang pada draf penghakimannya berkenaan, yang memutuskan isu Perlembagaan itu wajar diputuskan memihak kerajaan persekutuan dan bukan pihak menyaman.
Pandangan beliau disokong tiga lagi anggota panel, menjadikan keputusan itu diputuskan dengan majoriti tipis 4-3. Beliau berkata, antara yang berada dalam majoriti itu ialah presiden Mahkamah Rayuan ketika itu.
Tengku Maimun berada dalam minoriti.
Bagaimanapun, keputusan majoriti itu kemudiannya diketepikan dalam apa yang disifatkan langkah luar kebiasaan oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan kurang setahun selepas itu.
Rahman merujuk kepada rayuan akhir oleh Maria Chin Abdullah, yang dihalang daripada melakukan perjalanan ke luar negara pada Mei 2016 tanpa sebarang alasan diberikan imigresen.
Dalam penghakiman minoriti, Tengku Maimun mengisytiharkan sekatan tersebut tidak sah. Sekatan itu dikenakan terhadap Maria, yang ketika itu pengerusi Bersih 2.0, atas alasan beliau didakwa menghina kerajaan.
Tetapi, majoriti empat hakim, dengan Rahman menulis penghakiman utama, mengekalkan kesahan klausa pengecualian dalam Akta Imigresen yang menghalang keputusan daripada dicabar di mahkamah; beliau berpendapat kuasa kehakiman ditentukan Parlimen.
Dalam penghakiman minoritinya, Tengku Maimun mengisytiharkan klausa tersebut tidak menurut Perlembagaan dan menyatakan hak melakukan perjalanan termasuk dalam skop jaminan Perlembagaan mengenai kebebasan diri.
Beliau juga menegaskan, peruntukan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa kehakiman perlu dibaca dalam konteks maksud asalnya, kerana ia mewakili ciri asas Perlembagaan, tanpa mengira pindaan dibuat selepas itu.
Perkara 121(1) asalnya memperuntukkan kuasa kehakiman Persekutuan terletak pada mahkamah.
Namun, pindaan pada 1988 telah memadamkan frasa ‘kuasa kehakiman Persekutuan’ dan hanya menyatakan mahkamah memperoleh kuasanya daripada undang-undang Persekutuan.
Dalam pada itu, Rahman yang turut menghadiri majlis tersebut, berkata beliau tetap berpegang pada apa yang dinyatakannya dalam teks ucapan minggu lalu.
“Tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana apa yang saya sampaikan adalah kebenaran,” katanya.