Mukhriz lemah hanya alasan, sebab utama Tun M – Ramlah Adam

Mukhriz lemah hanya alasan, sebab utama Tun M – Ramlah Adam

Sikap berkecuali Mukhriz terhadap kepimpinan Najib Tun Razak menyebabkan pemimpin UMNO mengatur strategi untuk menyingkirkan beliau sebagai Menteri Besar.

ramlah-adam
PETALING JAYA : Dakwaan Datuk Seri Mukhriz Mahathir lemah mentadbir hanya alasan untuk UMNO Kedah menyingkirkan beliau daripada jawatan Menteri Besar.

Sebaliknya, serangan dan usaha Tun Dr Mahathir Mohamad menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah punca sebenar pemimpin UMNO mahu menjatuhkan Mukhriz.

Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, pemimpin UMNO melihat serangan Dr Mahathir melemahkan integriti Najib dan kepimpinan UMNO secara keseluruhannya.

“Ini merupakan kesan daripada komen-komen terbuka Dr Mahathir pada Datuk Seri Najib mengenai isu-isu negara dan terpalit kepada Datuk Seri Mukhriz.

“Ini menyebabkan pihak-pihak tertentu dalam UMNO mengambil peluang untuk mengeluarkan Mukhriz daripada kepimpinan negeri,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Mengulas lanjut, Ramlah berkata, Mukhriz juga tidak menunjukkan beliau secara terbuka menentang Najib atau mahu Perdana Menteri meletak jawatan.

Mukhriz, kata Ramlah, lebih banyak mendiam diri serta berkecuali dan pendirian itu mendorong pihak lain bertindak untuk menyingkirkan beliau.

“Kalaulah Mukhriz secara terbuka menentang Najib, mungkin beliau diambil tindakan terus.

“Mungkin ini adalah salah satu cara untuk menyingkirkan Mukhriz. Pemimpin UMNO bertindak walaupun Mukhriz berjaya mengetepikan pandangan bahawa beliau menyokong bapanya,” kata Ramlah.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal disingkirkan dari Jemaah Menteri pada Julai tahun lalu kerana mempersoalkan 1MDB dan dana RM2.6 billion.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.