Desak Mukhriz disingkirkan, satu tindakan bebal

Desak Mukhriz disingkirkan, satu tindakan bebal

Apa yang berlaku itu hanya menambahkan lagi koleksi luka parah dan beban yang ditanggung UMNO

Muhammad-Zahid-Md-Arip-,mukriz

PETALING JAYA:
Ketua-ketua Bahagian UMNO Kedah dianggap telah melakukan satu tindakan yang bodoh dan bebal apabila mendesak Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir supaya disingkirkan dari jawatan sebagai Menteri Besar dan Ketua Perhubungan UMNO Negeri.

Perkara itu ditegaskan oleh Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md Arip apabila menyatakan tindakan mereka itu hanya menambahkan lagi koleksi luka parah dan beban yang ditanggung oleh UMNO pada ketika ini.

“Saya minta Jawatankuasa Disiplin UMNO segera bersidang dan menimbang bagi menggantung kesemua Ketua-ketua Bahagian UMNO di Kedah yang terlibat dalam mendesak Mukhriz supaya disingkir.

“Kalau UMNO sebelum ini boleh mengambil tindakan terhadap Ketua UMNO Cawangan, mereka juga boleh ambil tindakan terhadap Ketua-ketua Bahagian supaya UMNO kelihatan berlaku adil tidak mengamalkan sikap `double standard,” katanya dalam sebuah rakaman video yang dimuat naik oleh Minaq Jinggo dan menjadi viral di Facebook.

Menerusi video sama, Zahid menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dengan kumpulan Ketua-ketua Bahagian UMNO terbabit yang berusaha mahu menyingkirkan Mukhriz.

“Saya tak fikir Perdana Menteri ada sikap baling batu sembunyi tangan. Sikap ini adalah sikap seorang yang pengecut. Saya tak fikir beliau seorang yang begitu.

“Dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini beliau ada menyatakan dirinya seorang yang berjiwa besar. Bagi orang yang berjiwa besar ini dia tak buat perkara seperti baling batu sembunyi tangan ni,” ujarnya.

Mengulas mengenai perkara sama, Zahid yakin Najib tidak akan menambah lagi masalah yang menjadi kemelut di dalam UMNO selepas beliau membuat keputusan menyingkirkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dalam pada itu, Zahid turut mengingatkan Ketua-ketua Bahagian UMNO terbabit bahawa langkah mereka itu telah mengaibkan parti yang didokongi mereka seolah-olah UMNO tidak tahu menghormati Hari Keputeraan Tuanku Sultan Kedah.

“Kenapa mesti membuat semua itu ketika rakyat Kedah masih menyambut Hari Keputeraan baginda.

“Tak boleh tunggu ke selepas sambutan hari keputeraan ke bawah duli tuanku ini. Mereka takde adab dan tak faham Rukun Negara. Ini serius,” tegasnya.

https://www.facebook.com/video.php?v=1836040073289589

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.