Menerusi kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi parti PAS, Ahli Parlimen Temerloh itu memberitahu mendapat petunjuk dan bersetuju untuk menarik balik sebahagian artikel tetapi tetap dengan pendirian tidak memohon maaf.
Dalam kenyataan itu, Nasruddin menceritakan kronologi yang berlaku di mahkamah sehingga penyelesaian di luar mahkamah dicapai antara kedua-dua pihak.
“Jam 10.20 pagi saya membuat keputusan bahawa saya tidak akan memohon maaf dan mengarahkan peguam saya agar proceed (meneruskan) untuk melalui perbicaraan kes saman yang berkait dengan penulisan saya bertajuk Apa beza KIDEX dan Penang Tunnel ? Pada tarikh 6 Ogos 2014.
“Jam 10.30 pagi, sekali lagi saya dipanggil untuk selesaikan kes sebagai rundingan di luar mahkamah di kamar hakim secara mediasi (satu proses runding cara dengan tujuan penyelesaian di luar mahkamah bagi kes – kes sivil), namun saya tetap menegaskan bahawa saya tidak akan memohon maaf kerana penulisan saya tidak bermaksud memfitnah plaintif,” katanya.
Bagaimanapun katanya, menerusi rundingan seterusnya pada jam 11.05 pagi, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah dan beliau setuju menarik balik sebahagian isi kandungan dari artikel yang dikatakan telah menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna media sosial.
Hakim memerintahkan Nasruddin membayar kos mahkamah RM10,000 kepada Guan Eng.
Guan Eng menyaman Nasruddin kerana mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu menganugerahkan projek terowong bawah laut bernilai RM4.63 bilion kepada Konsortium Zenith BUCG Bhd bukan melalui tender terbuka.
Nasrudin mendakwa, Guan Eng memberikan projek secara rundingan terus walaupun Pakatan Rakyat menentang cara berkenaan.
Pemimpin PAS itu juga mempersoalkan perbelanjaan berlebihan Guan Eng sebagai sesuatu yang tidak perlu apabila Pulau Pinang mencatatkan bajet defisit selama enam tahun berturut-turut.
