Dibina pada 1873, Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam di tingkat bawah bangunan lima tingkat itu merupakan antara kuil terpenting di negara ini. R Nadarajah mengakui tiga tingkat atas bangunan itu telah disewakan kepada seorang ahli perniagaan dan kini dalam proses pembersihan, namun kegunaannya sebagai sebuah hotel masih dipertimbangkan.
“Mereka (pihak penyewa) tampil menyewa bangunan itu yang selama ini dibiar kosong dan disalahguna oleh penceroboh seperti penagih dadah dan sebagainya.
“Walaupun pihak itu berkenan untuk membina sebuah hotel, rumah tumpangan atau hostel, kami belum memuktamadkan keputusan kerana belum ada sebarang perjanjian yang dibuat lagi,” kata Nadarajah kepada FMT.
Beliau dihubungi selepas beberapa pihak mengutarakan rasa tidak puas hati dengan desas-desus pihaknya telah bersetuju untuk membina sebuah hotel.
Pada masa ini, bangunan itu menempatkan sebuah dewan masyarakat yang sering digunakan untuk majlis perkahwinan, selain daripada Kuil Sri Maha Mariamman Dhevasthanam.
Mengulas kewajaran penyewaan tingkat atas bangunan itu, Nadarajah berkata ia bagi membantu meringankan pembayaran pinjaman bank sebanyak RM100,000 sebulan. Manakala bagi rancangan hotel itu pula, beliau berkata ia tidak sepatutnya menjadi isu kerana ia merupakan kebiasaan di kuil-kuil di India.
“Saya terpaksa menyewa selepas ia hilang nilai kerana dibiarkan kosong. Lagipun kami juga akan mengasingkan bangunan pintu masuk ke kuil dan premis sewaan supaya ia tidak mengganggu. Kalau gentar ia akan memberi imej buruk kepada nama bangunan, yakni nama Tuhan, saya tidak akan teragak-agak untuk menukar namanya,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS), Datuk RS Mohan Shah ketika dihubungi berkata penyewaan untuk perniagaan hotel boleh membawa impak tidak baik ke atas agama Hindu dan komunitinya.
“Mereka boleh gunakannya untuk pelbagai tujuan lain, pusat pendidikan (kolej), pejabat malah kedai beli-belah, tetapi bukan hotel bajet. Ini kerana kita tidak akan tahu apa tujuan penyewa menyewa bilik hotel itu kelak,” katanya.