Fuziah: Pihak beri kebenaran melombong bauksit lakukan dosa besar

Fuziah: Pihak beri kebenaran melombong bauksit lakukan dosa besar

Selain menjejaskan kehidupan ratusan ribu penduduk ia juga merupakan satu bencana alam besar

Fuziah-Salleh

PETALING JAYA:
Pihak yang bertanggungjawab membenarkan aktiviti perlombongan bauksit sehingga memudaratkan di Pahang dianggap sebagai golongan yang melakukan dosa besar.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, keburukan yang menimpa ratusan ribu penduduk di kawasan sekitar akibat perlombongan bauksit itu juga merupakan satu bencana alam yang besar.

“Sesiapa yang membenarkan risiko ini berlaku adalah golongan berdosa besar. Mereka ini ibarat merompak, lanun dan merosakkan kehidupan penduduk sekitar.

“Saya tidak hanya bercakap mengenai ekonomi terjejas tetapi berkaitan kehidupan,” katanya seperti dilapor Sinar Harian Online.

Baru-baru ini, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan kerajaan akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari.

Wan Junaidi berkata, bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit, kerajaan telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lalu.

“Perlombongan bauksit di Kuantan, Indera Mahkota, Paya Besar dan sekitar memuncak lewat 2014.

“Selain gangguan debu merah, saya sudah berkali-kali menyuarakan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang kepada alam sekitar dan kesihatan penduduk,” kata Fuziah lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.