
“Saya akan mendapatkan arahan daripada anak guam saya jika beliau mahu hadir berjumpa dengan Liong Sik ketika proses mediasi dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas syarat Liong Sik yang mahu Najib hadir dalam proses mediasi jika mahu kes saman itu diselesaikan di luar mahkamah.
Bekas Presiden MCA itu dalam satu kenyataan malam tadi berkata, beliau belum membuat keputusan sama ada bersetuju menyelesaikan kes itu menerusi proses mediasi atau pengantara.
Katanya, Perdana Menteri perlu terlebih dahulu membaca kandungan hujah membela diri yang difailkan bagi menjawab saman fitnah Najib.
Liong Sik berkata, beliau juga perlu membaca hujah membela diri yang difailkan Najib terhadap saman balas yang difailkan oleh bekas Menteri Pengangkutan itu.
Dalam kenyataan itu, Liong Sik menyatakan beliau mahu Najib hadir dalam proses mediasi itu.
Semalam, mahkamah menasihatkan Najib dan Liong Sik mencuba proses mediasi untuk menyelesaikan kes saman itu dan sekiranya gagal, barulah kes itu diteruskan di mahkamah.
Najib memfailkan saman terhadap Liong Sik pada 27 Oktober lalu kerana mendakwa memfitnahnya menggunakan wang rakyat.
Liong Sik juga memfailkan saman balas terhadap Najib pada 14 Disember 2015 kerana mendakwa Najib menyalahguna mahkamah.