Zahid perlu jadikan dirinya contoh teladan

Zahid perlu jadikan dirinya contoh teladan

Menteri dan pegawai kerajaan menggunakan pelbagai cara untuk mengaut keuntungan menerusi tender dan mendapat sokongan ‘tauke besar’

shahbudin,zahid

PETALING JAYA:
Ahli politik negara ini yang dilantik dalam kerajaan menggunakan pelbagai cara untuk mengaut keuntungan melalui tender kerajaan.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Hussin berkata, ahli politik terbabit menggunakan proksi untuk memudahkan mendapat projek atau tender dengan menggunakan nama anak, isteri, adik beradik atau saudara mara.

“Siapakah menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kerajaan yang tiada ‘tauke besar’ di belakang mereka?, tulisnya di blog shahbudindotcom.my.

Katanya, tiada masalah bagi pemimpin atau ahli politik terlibat dalam perniagaan asalkan mereka tidak dalam pentadbiran kerajaan.

“Tidak cukupkah gaji dan elaun lumayan yang diperoleh daripada kerajaan,” soalnya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan ahli politik yang lebih mengutamakan dunia perniagaan dan kepentingan peribadi daripada memberi khidmat kepada rakyat, agar mengundurkan diri dengan segera.

“Jika benar Zahid mempunyai iltizam mahu membersihkan nama UMNO dan kerajaan, perkara inilah yang beliau beri perhatian lebih khusus,” tulisnya.

Shahbudin berkata, sebagai orang nombor dua dalam kerajaan, beliau pastinya boleh berbuat sesuatu yang berkesan untuk menghalang menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran daripada terlibat dalam perniagaan.

“Mereka inilah yang sepatutnya diberi amaran untuk memberi sepenuh tumpuan kepada politik serta khidmat demi rakyat serta jangan sesekali terlibat dalam perniagaan.

“Saudara mara terutamanya adik-beradik menteri, timbalan menteri dan anggota pemtadbiran kerajaan juga harus dilarang melibatkan diri dalam apa-apa perniagaan di kementerian di mana mereka berkhidmat.

“Yang penting sekali daripada segala-galanya, apa kata Zahid sendiri cuba sedaya upaya menjadikan dirinya sebagai contoh teladan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.