Pelajar susah UA peroleh RM10 tiap jam

Pelajar susah UA peroleh RM10 tiap jam

Arahan buka peluang pekerjaan kepada pelajar susah dikeluarkan Idris sebagai reaksi laporan pelajar kebuluran di kampus.

Datuk Seri Idris Jusoh

PETALING JAYA:
Peluang pekerjaaan untuk pelajar susah di Universiti Awam (UA) kini sudah diwujudkan dengan kadar sebanyak RM3 hingga RM10 untuk setiap jam.

Antara pekerjaan yang ditawarkan ialah menjadi tutor dan pelayan di kafe di kampus UA di seluruh negara.

Ia adalah antara tujuh inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dalam usaha membantu pelajar susah, susulan laporan panas bahawa pelajar UA terpaksa ikat perut akibat kekangan kewangan.

Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh mengeluarkan arahan itu kepada semua pentadbiran UA dan mahu pelajar susah di kampus masing-masing dikenalpasti.

Katanya, Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) setiap UA perlu meningkatkan usaha dalam membantu pelajar terbabit.

“Baru-baru ini ada beberapa laporan media mengenai pelajar UA yang tiada duit untuk membeli makanan, menyebabkan kemudaratan kesihatan.

“Saya memahami bahawa ada pelajar yang malu atau pun tidak pasti di mana untuk mendapatkan bantuan. Ada juga yang menggunakan duit PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) untuk membantu keluarga,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya, semalam.

Idris berkata, selain mengarahkan universiti membuka peluang pekerjaan, kementeriannya sudah mengambil beberapa tindakan meringankan beban dihadapi pelajar UA termasuk mewujudkan tabung kebajikan dan mengadakan program bantuan makanan percuma.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.