Di sidang media pemeteraian perjanjian itu, pimpinan Pakatan Harapan tidak menjawab soal hudud dan kerjasama dengan PAS secara jelas.
Ketika ditanya dasar bersama PH berkenaan undang-undang syariah, Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata isu itu masih perlu dibincangkan, namun menegaskan sebarang keputusan yang bakal dibuat adalah melalui kesepakatan.
“Dasar Pakatan Rakyat akan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya, dan menambah sebagai orang Islam beliau tidak menentang Hudud.
Berkenaan isu kerjasama dengan PAS, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata PAS telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan: sekiranya ada rancangan untuk bekerjasama dengan parti Islam itu, ia akan ditentukan di kemudian hari.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli menggesa orang-ramai supaya tidak membuat spekulasi, kerana yang lebih penting adalah kewujudan satu perjanjian yang akan memandu pakatan itu ke arah satu dasar bersama.
“Kita tidak boleh bertindak sebelum masanya, kita perlu berhati-hati meletakkan batu asas satu persatu bagi memastikan kita mewujudkan pakatan yang mapan. Kita perlu melalui proses itu terlebih dahulu,” katanya berhubung keputusan dan pendirian pakatan itu keatas pelbagai isu berbangkit.
Sementara itu, Presiden AMANAH Mohamed Sabu berkata partinya dan pakatan itu tidak mahu terperangkap dalam politik perkauman, seraya menyanggah cadangan daripada wakil AMANAH Johor supaya DAP tidak meletakkan calon di kawasan majoriti Melayu, lantaran terpalit imej anti-Melayu dan anti-Islam.
