
Dalam laman sosial Facebook miliknya, Chang Kim daripada DAP menjelaskan beliau hanya mencadangkan supaya AMANAH mengambil lapan kerusi ahli majlis tempatan yang diputuskan oleh Kerajaan Selangor dahulu kerana permintaan mereka untuk lebih banyak kerusi boleh dibincangkan pada masa hadapan.
“Saya minta perbincangan mengenai lebih banyak kerusi boleh diadakan pada sidang hadapan memandangkan kita tidak mempunyai masa untuk berbuat demikian pada sidang ini,” katanya.
Bagaimanapun, penjelasan yang diberikan olehnya, didakwa disensasikan sehingga menyebabkan laporan yang tidak tepat diterbitkan.
Tambahnya lagi, perbincangan lanjut mengenai isu itu akan hanya melambatkan proses pelantikan ahli majlis seterusnya menjejaskan kecekapan pentadbiran majlis tempatan.
Mengulas lanjut, Chang Kim menyatakan sepanjang menjawab soalan, beliau mengendalikannya secara tenang dan diplomatik bertentangan dengan laporan itu yang menggambarkan seolah-olah beliau marah dan bersikap agresif.
Terdahulu akhbar Sinar Harian melaporkan berita bertajuk: “AMANAH patut bersyukur dapat lapan kerusi”.
Rabu lalu, AMANAH diberi lapan kerusi ahli majlis tempatan untuk tempoh dua tahun bermula 15 Jan ini.
Parti itu sebelum ini telah meminta sekurang-kurangnya dua kerusi bagi setiap 12 majlis tempatan di Selangor.