Isu vape: IKHLAS tuduh negeri bawah BN berat sebelah

Isu vape: IKHLAS tuduh negeri bawah BN berat sebelah

Kerajaan negeri BN tidak hormat keputusan Jemaah Menteri yang tidak haramkan vape.

ikhlas

PETALING JAYA:
Kerajaan negeri bawah Barisan Nasional (BN) yang mengharamkan penjualan vape dinasihatkan supaya memahami dengan lebih mendalam mengenai Perlembagaan Persekutuan.

Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah, berkata tindakan beberapa negeri BN melarang penjualan vape dilihat tidak menghormati keputusan Kabinet yang tidak mengharamkan rokok elektronik.

“Melihat situasi sekarang ini, kita dapati kebanyakan keputusan yang dibuat di beberapa buah negeri menunjukkan mereka tidak hormat dengan keputusan Perdana Menteri.

“Itu tanda mereka tak sokong Perdana Menteri lagi. Nasihat saya, belajar Perlembagaan Persekutuan dan peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya pada sidang media di Kota Damansara, hari ini.

Mengulas lanjut, Ridzuan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang menjemput IKHLAS untuk mengadakan perbincangan berhubung isu vape.

Katanya, tindakan Kerajaan Selangor itu membuktikan pembangkang sebenarnya lebih memahami Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, Ridzuan mendakwa kerajaan negeri yang terbabit dengan pengharaman vape bersikap berat sebelah kerana membenarkan penjualan rokok.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.