Menurut Institut Darul Ehsan (IDE), kemarahan itu berganda selepas perpecahan Pakatan Rakyat pada Jun lalu, yang membawa kepada terkuburnya kerjasama antara DAP-PAS.
Timbalan Pengerusinya, Dr Redzuan Othman menjelaskan dengan kempen anti-DAP berkesan dengan adanya kerjasama antara UMNO dan PAS, dan penggunaan agama untuk menyerang DAP.
Menurut Redzuan, sentiman anti-DAP itu didedahkan dalam satu tinjauan IDE yang dibuat pada 13 dan 15 November tahun lalu di Selangor, melibatkan 1,716 penjawab dari kalangan orang Melayu.
Tinjauan itu mendedahkan 72% bersetuju DAP parti berteraskan kaum dan hanya menjaga kepentingan masyarakat Cina, manakala 12% tidak bersetuju dan 16% lagi tidak pasti.
Sementara itu, 64% penjawab bersetuju dengan penyataan “DAP parti anti-Melayu dan anti-Islam”, manakala 18% tidak bersetuju dan 19% lagi tidak pasti.
Redzuan berkata sentimen sebegitu dikongsi oleh ramai orang Melayu di seluruh negara, dan menambah kemarahan dan kebencian terhadap DAP kebanyakannya berligar dalam kalangan masyarakat Melayu desa, terutamanya ahli PAS dan penyokongnya.
Menurutnya lagi, kemarahan terhadap DAP tidak seberapa di kawasan-kawasan yang diwakili DAP dalam Selangor, dan berpandangan persepsi terhadap parti itu boleh diubah melalui kempen-kempen penerangan.
