Bauksit boleh sebabkan penyakit Alzheimer

Bauksit boleh sebabkan penyakit Alzheimer

Bauksit mengandungi aluminium hidroksida yang boleh menyekat pengaliran oksigen dalam saraf sekaligus ke sistem saraf

bauxite

PETALING JAYA:
Orang ramai yang terdedah dengan debu bauksit dalam tempoh yang panjang berisko menghidap penyakit Alzheimer.

Perkara itu dijelaskan oleh Felo Penyelidik Kualiti Udara Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr. Azman Azid.

Menurut Dr. Azman, bauksit mengandungi aluminium hidroksida dan debu bahan itu yang terbebas di udara dan dihidu dalam tempoh lama boleh menyekat pengaliran oksigen dalam darah sekaligus ke sistem saraf.

“Apabila otak berkurangan oksigen ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan risiko unutk menghidap penyakit Alzheimer atau penyakit lupa,” katanya yang dipetik dari Bernama.

Jelas Dr Azman, hasil kajian institut berkenaan di beberapa lokasi terjejas dengan bauksit mendapati indeks pencemaran udaranya melebihi tahap berbahaya iaitu sehingga mencecah bacaan 468.

Katanya, pencemaran udara di kawasan yang terlibat dengan aktiviti itu disifatkan sebagai serius dan menganggarkan zarah terampai bawah 10 mikron (PM10) berada di tahap lebih 200g/m3, melebihi piawaian yang ditetapkan oleh Piawaian Kualiti Udara Ambien Malaysia, iaitu 150 g/m3.

“Manusia yang terdedah dengan tahap kualiti udara yang tidak sihat untuk tempoh yang lama juga boleh mengalami simptom kesukaran dan masalah pernafasan sebelum menjadi kronik apabila tidak dikawal.

“Selain pekerja perlombongan, mereka yang berisiko untuk menghidapinya termasuk juga golongan bayi, kanak-kanak, dan warga emas kerana keperluan udara yang tinggi untuk pernafasan dan lemah imuniti tubuh badan melawan penyakit tersebut,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.