Mengapa perlu memeluk Islam dalam sembunyi?

Mengapa perlu memeluk Islam dalam sembunyi?

Mengapa perlu sembunyikan niat mereka yang murni itu daripada pengetahuan isteri?

muslim

Semenjak kebelakangan ini agak rancak diperbualkan kisah perebutan anak di antara ibu dan bapa berlainan agama. Kes terbaru ini melibatkan M Indira yang beragama Hindu dan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah, seorang muallaf, kedua-duanya berebutkan hak penjagaan ke atas ketiga-tiga anak mereka.

Mengikut bibit-bibit kisah mereka seperti yang tertera di dada akhbar serta portal media, Muhammad Riduan telah menukar status agama ketiga-tiga orang anaknya serta memohon hak penjagaan ke atas mereka. Kisah M Indira dan Muhammad Riduan ini tidak ubah seperti kisah-kisah lain yang pernah kita baca, contohnya kes antara S Shamala dan Dr Muhammad Ridwan, R Subashini dan Muhammad Shafi serta S Deepa dan Izwan Abdullah.

Namun apa yang menarik perhatian saya adalah persamaan antara kes-kes tersebut di mana kesemua suami mendalami ajaran agama, memeluk Islam serta menukar agama anak-anak mereka tanpa pengetahuan isteri. Persoalan saya di sini adalah : Mengapa perlu sembunyikan niat mereka yang murni itu daripada pengetahuan isteri?

Sesungguhnya perkahwinan adalah satu institusi di mana dua individu bukan sahaja berkongsi katil, malah juga berkongsi segala-galanya dalam hidup. Setiap hari, pasti banyak cerita serta pengalaman yang di kongsi bersama – cerita suami di pejabat, cerita isteri melayan anak serta cerita ahli keluarga dan sahabat handai. Selain itu, minat, hobi serta pendapat masing-masing turut sama di kongsi.

Jika kita fikirkan dengan teliti, apabila seorang suami mendapat hidayah dan terbit keinginan di dalam hati untuk mendekati Islam, bukankah Isteri akan menjadi antara orang pertama yang di carinya untuk meluahkan isi hati serta menjadi teman berbincang?
Memeluk agama Islam bukanlah suatu perkara yang ringan, terutamanya di Malaysia. Ini kerana sekali memeluk Islam, selama-lamanya seseorang itu akan perlu kekal Islam jika tidak mahu dirundung masalah. Apatah lagi bagi seseorang yang sudah beristeri dan berkeluarga – pastinya seorang suami mahu keluarga tercinta turut sama mendapat hidayah agar dapat meneruskan hidup bersama.

Tapi peliknya, suami di dalam kesemua kes yang kita dengar kebelakangan ini rata-ratanya bertindak mempelajari Islam serta memeluk agama Islam secara sembunyi dan curi-curi. Mengapa agaknya ya?

Bayangkanlah betapa mudahnya proses penukaran agama serta masa hadapan anak-anak sekiranya si suami bertindak membawa isteri bersama dalam proses mendalami agama Islam. Walaupun jika si isteri mengambil keputusan tidak mahu memeluk Islam, sekurang-kurangnya si suami sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga. Tambahan pula, setelah mengikuti proses transformasi si suami, pastinya isteri akan lebih memahami tindak-tanduk suami menukar agama.

Agak hairan juga saya, tidakkah guru agama atau ustaz yang membantu si suami mendekatkan diri dengan Allah memberi nasihat kepada mereka untuk berlaku jujur kepada isteri mereka?
Sesungguhnya tindakan menukar agama anak-anak dengan membelakangi isteri merupakan satu tindakan keji yang tidak harus dilakukan oleh seseorang yang baru sahaja mendapat hidayah.

Harapan saya, moga di masa hadapan, sesiapa yang ingin memperdalami agama, cubalah berlaku jujur dengan isteri masing-masing. Berbicaralah dengan isteri masing-masing serta bawalah mereka bersama ketika melalui proses pembelajaran agama. Insya Allah, semuanya akan dipermudahkan Allah SWT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.