Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Haron Din yang menyatakan sehingga hari ini beliau masih keliru dan tidak mengetahui sebarang kedudukan mengenai hasrat Rayani Air.
“Memang banyak orang yang bertanya. Tetapi tidak ada sebarang usaha untuk mereka (Rayani Air) hubungi dan apa sebenarnya hasrat mereka. Tidak akanlah benda yang saya tidak tahu mana letaknya saya akan komen.
“Tidak ada mana-mana pihak berkenaan (Rayani Air) menghubungi saya. Saya tidak tahu kedudukan, yang saya dengar kata jadi Penasihat Syariah. Jadi, tidak tahu yang mana sebenarnya,” katanya sewaktu bercakap kepada FMT.
The Malaysian Insider dalam laporannya berkata, syarikat berkenaan berazam meluaskan pengaruh mereka sebagai syarikat penerbangan pertama di Malaysia yang berlandaskan konsep patuh syariah bakal melantik Haron Din sebagai penasihat, kata pengarah urusan Rayani Air, Jaafar Zamhari.
Katanya, jika veteran Pas itu bersetuju, beliau akan berperanan menasihati Rayani Air tentang bagaimana melaksanakan konsep patuh syariah yang sebetulnya mengikut lunas Islam.
Saranan Jaafar itu disambut baik Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyatakan cadangan syarikat berkenaan merupakan satu tindakan yang terbuka dan profesional.
Bahkan, pemilihan Mursyidul Am Pas itu amat bersesuaian dengan ilmu yang dimiliki beliau.
Mengulas mengenai tahap kesihatan dirinya, Haron Din menyatakan sehingga kini beliau masih boleh melakukan aktiviti seharian namun aktiviti jasmani dan terlalu menekan jantung telah dielakkan.
“Kesihatan saya dengan umur, sudah lima kali buat pembedahan besar. Memang sudah sampai ke tahap maksimum untuk dibuat rawatan.
“Boleh (lakukan aktiviti seharian), tetapi perlu berhati-hati agar tidak ada yang menekan sangat jantung daripada sudut aktiviti jasmani hingga tahap memenatkan jantung saya,” ujarnya.
