Kit Siang patutnya saman bekas pegawai khas Guan Eng – Pro BN

Kit Siang patutnya saman bekas pegawai khas Guan Eng – Pro BN

Saman tersebut perlu dibuat oleh Lim Kit Siang ke atas Mohamed Razali yang sebelum ini merupakan Pegawai Khas, Ketua Menteri Pulau Pinang.

Zulkarnain-Mahdar,-DAP,-Lim-Kit-Siang

PETALING JAYA:
Penasihat DAP, Lim Kit Siang sepatutnya mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas Pegawai Khas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali berhubung isu tawaran RM1.2 bilion dan pembinaan kem tentera Israel.

Pengerusi Pakatan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pro Barisan Nasional, Zulkarnain Mahdar berkata, maklumat yang diberikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki sebelum ini diambil daripada kenyataan yang pernah dibuat oleh Mohamed Razali sebelum ini.

“Sepatutnya Lim Kit Siang dan DAP menyaman Mohamed Razali serta membuat laporan polis kerana memfitnah dan bukannya meminta bukti daripada Pro BN termasuk Dr Zuhdi,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari sebuah laman portal.

Zulkarnain berkata demikian mengulas kenyataan Lim Kit Siang yang mendakwa pendedahan dibuat oleh pihak berkenaan berhubung perkara tersebut berbaur fitnah terhadap DAP dan meminta agar mereka membuktikannya.

Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, Pakatan Pro BN telah membuat laporan polis terhadap parti DAP selepas terbaca pendedahan yang dibuat Dr Mohd Zuhdi mengenai tawaran RM1.2 Bilion dan pembinaan kem tentera Israel sekiranya DAP berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

“Pro BN yakin Mohamed Razali tentunya mempunyai asas untuk menyokong tuduhan terhadap DAP berhubung sumbangan RM1.2 Billion dan pembinaan kem tentera Israel sebelum ini.

“Pro BN juga menyelar sikap Lim Kit Siang kerana mengamalkan sikap `double standard’ apabila ianya melibatkan agama Islam,” tegasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.