Perkahwinan ubat paling mujarab tangani rogol statutori

Perkahwinan ubat paling mujarab tangani rogol statutori

"Masyarakat khususnya ibu bapa mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Manakala Kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin," kata Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mohd-Khairuddin-Aman-Razali

KUALA LUMPUR:
Bagi PAS, perkahwinan adalah ubat paling mujarab untuk menangani isu rogol statutori di Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, “anjuran bernikah adalah ubat paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini.”

Beliau memetik statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang menunjukkan 52 peratus daripada 6,910 kes rogol pada tahun 2013 hingga 2015 adalah rogol statutori yang melibatkan gadis bawah umur.

“Lebih merisaukan, daripada 52 peratus itu, kira-kira 90 peratus adalah kategori suka sama suka manakala hanya 10 peratus sahaja ketegori paksaan,” katanya.

Beliau juga menyeru agar ibubapa memberikan sokongan penuh dan kerajaan memberikan insentif kepada anak-anak yang ingin berkahwin.

“Masyarakat khususnya ibu bapa mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Manakala Kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin.

“Aspek hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa, takrif rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak-hak mangsa yang digunapakai sekarang hendaklah disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh Islam,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus itu lagi.

Dalam wawancara bersama FMT pada 22 Disember lalu, kumpulan hak asasi wanita Women’s Aid Organisation (WAO) berkata Undang-undang Keluarga Islam perlu diperbaharui demi melindungi anak gadis daripada perkahwinan bawah umur.

Gesaan itu adalah respon kepada soalan yang diutarakan di Parlimen awal bulan lalu, ketika Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Rohani Karim berkata secara purata tiga kanak-kanak beragama Islam membuat permohonan untuk berkahwin setiap hari.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.