Pelabur asing dikhuatir kaitkan darurat kepada politik tidak stabil, kata pakar ekonomi

Pelabur asing dikhuatir kaitkan darurat kepada politik tidak stabil, kata pakar ekonomi

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School bimbang pengisytiharan darurat mungkin menambah ketidaktentuan ekonomi dalam ketiadaan dasar berkesan untuk menarik pelabur asing

PETALING JAYA: Walaupun Malaysia mengistiharkan darurat untuk membendung Covid-19, kefahaman pelabur asing mengenai istilah itu mungkin menyebabkan mereka mengelak melabur di negara ini, kata seorang pakar ekonomi.

“Mungkin ada pelabur melihat darurat ini sebagai tanda ketidakstabilan politik yang memungkinkan kerajaan pada masa kini bakal tumbang pada bila-bila masa,” kata Pensyarah Kanan Putra Business School Ahmed Razman Abdul Latiff kepada FMT.

Justeru, pengisytiharan darurat akan menambah ketidak tentuan ekonomi yang sedia terjejas dengan ketiadaan pelaksanaan polisi berkesan di Malaysia, sekali gus mendorong pelabur asing beralih ke negara jiran dan mengenepikan Malaysia, kata beliau.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan supaya proklamasi darurat dilaksanakan di dalam negara, sebagai langkah proaktif membendung wabak Covid-19.

Sultan Abdullah memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat sehingga 1 Ogos depan atau sehingga tarikh yang lebih awal jika angka kes positif Covid-19 harian dapat diturunkan dengan berkesan.

Perisytiharan itu menyusul kurang 24 jam selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan di lima negeri dan wilayah persekutuan.

Muhyiddin berkata pengisytiharan darurat itu bukan berupa rampasan kuasa dan aktiviti ekonomi akan berjalan seperti biasa namun pilihan raya umum tidak dapat diadakan.

Ahmed berkata pelabur asing agak was-was tentang darurat yang diisythiarkan oleh Putrajaya sehingga ia mungkin menghakis imej Malaysia sebagai destinasi pelaburan.

Beliau berkata di banyak negara asing, termasuk Indonesia, pelabur tetap menaruh minat untuk melabur, walaupun wabak Covid-19 masih lagi berleluasa di negara berkenaan.

Ahmed berkata meskipun wabak itu masih serius di Indonesia, pelabur lebih berminat melabur di negara berkenaan kerana ia menawarkan kerajaan stabil, di bawah pimpinan Presiden Joko Widodo.

“Pelabur asing yakin bahawa pandemik ini akan dapat ditangani lambat laun tetapi mereka tertarik dengan apa yang ditawarkan Indonesia pada masa ini (iaitu) sebuah kerajaan stabil dan mesra pelabur,” katanya.

Di Malaysia, Ahmed percaya, bukan sahaja ekonomi negara secara keseluruhannya akan terjejas akibat darurat, malah akan memburuk jika Putrajaya melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melebihi dua minggu.

Sebelum ini, negara dianggarkan kerugian RM2.4 bilion setiap hari apabila PKP1.0 dilaksanakan 18 Mac tahun lalu.

“Tidak dinafikan, mungkin impak negatif kali ini lebih rendah dari kadar RM2.4 bilion sehari kerana hanya beberapa negeri sahaja yang dikenakan PKP.

“Tetapi negeri-negeri ini menyumbang sebanyak 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tahun 2018,” katanya.

Berkuat kuasa hari ini, PKP dikuatkuasa di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Melaka, Putrajaya dan Labuan.

Sementara itu, penganalisis ekonomi Mohd Yusof Kasim pula meramalkan, pasaran saham di dalam negara akan terjejas akibat pengumuman darurat dan pelaksanaan PKP.

Bagaimanapun beliau melihat perisytiharan darurat itu sebagai memberi kesan positif kepada medan politik negara.

“Secara umumnya ia akan beri kesan yang baik sebab ia secara tidak langsung akan mewujudkan kestabilan politik dan ahli-ahli politik pula akan kurang berpolitik sebab Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sudah di gantung,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.