
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, semua kes yang dilaporkan hari ini adalah penularan dalam negara.
“Sabah terus mencatatkan kes harian tertinggi dengan 644 kes diikuti Selangor 225 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, 97 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 27 memerlukan alat bantuan pernafasan.
Dimaklumkan juga, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 249 kes.
Memperincikan penularan tempatan hari ini, Noor Hisham berkata, negeri yang turut merekodkan kes positif adalah Pulau Pinang dengan 23 kes, Labuan (18 kes), Terengganu (15 kes), Sarawak (11 kes), Negeri Sembilan (8 kes), Perak (5 kes), Kuala Lumpur (4 kes), Kedah, Melaka, Johor dan Putrajaya masing-masing 1 kes.
972 kes pulih dicatatkan menjadikan jumlah kumulatif sembuh sepenuhnya sebanyak 22,220 kes.
Setakat ini, Malaysia merekodkan 32,505 kes Covid-19 dengan 10,036 kes aktif.
Dalam pada itu, KKM mengenal pasti 2 kluster baru CovId-19 di Selangor dan Pulau Pinang.
“Kluster Usaha dikesan di Klang dan Petaling, manakala kluster Tembaga membabitkan daerah Timur Laut dan Barat Daya di Pulau Pinang,” katanya.
Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster Usaha adalah kes ke-30,697 hasil saringan individu bergejala pada 30 Okt.
“Saringan kontak rapat mengesan 16 lagi kes positif dan mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh,” katanya.
Bagi kluster Tembaga pula, beliau berkata, kes indeks, iaitu kes ke-29,359 dikenal pasti positif hasil saringan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) pada 28 Okt.
“Saringan kontak rapat tmengesan 6 lagi kes positif Covid-19. Semua kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang,” katanya.