Logo anak syarikat tertera pada sepanduk jemaah haji terkandas, MAIWP nafi terlibat

Logo anak syarikat tertera pada sepanduk jemaah haji terkandas, MAIWP nafi terlibat

Pengerusinya Mohd Daud Bakar berkata MAIWP Healthcare tidak terbabit menguruskan jemaah haji, sebaliknya sebagai pihak dianggap kontraktor berasingan menyediakan bahan perubatan di tanah suci Makkah.

Agensi yang didakwa mengakibatkan hampir 380 bakal jemaah haji terkandas hanya menggunakan khidmat MAIWP Healthcare untuk menyediakan alat perubatan seperti demam dan selesema, kata Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Mohd Daud Bakar. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) hari ini menafikan pembabitannya dalam isu yang melibatkan hampir 380 bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Hotel serta Pusat Konvensyen Movenpick KLIA.

Pengerusinya, Mohd Daud Bakar, berkata ia susulan terdapat logo MAIWP Healthcare Sdn Bhd pada salah satu sepanduk yang dilihat berdekatan kumpulan jemaah berkenaan, yang tular di laman media sosial, semalam.

“MAIWP Healthcare adalah anak syarikat iaitu sebagai vendor sahaja. Mereka (agensi berkenaan) menggunakan khidmat MAIWP Healthcare untuk menyediakan alat perubatan seperti demam, selesema, dan sebagainya di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pengagihan Manfaat Wakaf Allahyarham Ahmad Dawjee Dadabhoy MAIWP.

Beliau berkata, MAIWP atau anak syarikatnya bukanlah pihak yang menguruskan jemaah haji, dan ia hanya sebagai pihak yang dianggap kontraktor berasingan menyediakan bahan-bahan perubatan di tanah suci Makkah.

“Dan kita kesal dengan apa yang berlaku dan kita harap pihak yang terlibat mengambil tanggungjawab sepenuhnya dengan apa yang berlaku, dan ini bukan urusan MAIWP kerana MAIWP hanya melihat kepada isu agama, sosial ekonomi islam,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA, semalam, dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Aras 5, Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Lembaga Tabung Haji (TH).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.