
“Dia akan bangun seawal 5.30 pagi dan berbasikal ke gerai nasi lemak tersebut, kemudian bergegas pulang agar sempat sampai ke rumah sebelum bas sampai. Kadang kala, dia akan mengejar bas itu,” kata pengasas Santan X Sambal (SXS).
“Setiap kali saya berada di luar negara, dan apabila cuaca terlalu sejuk, saya mesti berfikir untuk naik pesawat pertama, dan saya tahu, perkara pertama yang akan saya makan ialah nasi lemak,” tambahnya.
Menurut Deborah, ia adalah ingatan pertamanya tentang rumah yang akan membawa dia menelusuri zaman kanak-kanak, tatkala menjamah hidangan tersebut.
“Saya rasa sebab itulah ia cukup dekat dengan saya hingga ke hari ini,” ujarnya.

Bukanlah suatu yang sukar untuk memutuskan bahawa nasi lemak gaya kampung akan menjadi fokus utama sebaik memulakan perniagaan makanan dari dapurnya bulan lalu, walaupun dia cukup terlatih dalam masakan dan mahir menyiapkan semua jenis makanan.
“Saya menggunakan semua simpanan yang ada, tetapi saya juga sedar ada orang yang memulakan perniagaan tanpa modal langsung dan ia boleh dilakukan jika perancangannya betul.
“Untuk mengesahkan pesanan mereka, pelanggan perlu membayarnya terlebih dahulu. Saya kemudian menggunakan wang itu untuk membeli bahan-bahan,” ujar Deborah.
Wanita berusia 37 tahun ini bukan sahaja ramah, malah meletakkan sepenuh jiwa dan raga untuk setiap masakannya.
Buktinya dapat dilihat sendiri pada produk akhir hasil air tangannya. Walaupun baru beroperasi selama lebih sebulan, perusahaan secara ‘solo’ ini telah menerima banyak pesanan berulang dari rakan, keluarga dan penduduk di kawasan kejiranan.

Deborah mula bekerja di dapur ketika berusia 17 tahun. Dia kemudian melanjutkan pelajaran dalam seni kuliner, bekerja di kafe selama beberapa tahun sebelum beralih kepada bidang kewartawanan dan penulisan iklan.
Walaupun begitu, wanita serba boleh ini menggunakan sepenuh latihan kulinari dalam menjalankan perniagaan.
Malah, dia turut mengenakan jaket dan topi tukang masak untuk memastikan standard kebersihan yang tinggi, sambil menambah bahawa itu adalah simbol penghormatan terhadap disiplin di dapur.
“Memastikan dapur anda bersih dan menjaga perkakas sebenarnya memberi kesan yang berbeza dalam rasa masakan itu.
“Sangat mudah jika anda mengikuti ‘prosedur operasi standard’ (SOP). Amalan peraturan yang baik adalah clean-as-you-go (C.A.Y.G.),” jelasnya.

Sebagai perancang yang teliti, Deborah melakukan tinjauan pasaran dan mencuba makanan sebelum melancarkan perniagaannya.
“Saya mengemukakan soalan yang sangat spesifik mengenai apa yang akan menjadi hidangan nasi lemak yang sempurna untuk mereka, hingga kepada bagaimana mereka mahu kacang tanah disediakan – adakah mereka mahu ia masin, tidak masin, atau dipanggang ringan?
“Apa yang paling utama adalah pengalaman ketika mereka makan, dan harganya berpatutan,” katanya.
Nasi lemak yang disajikan beralas daun pisang yang besar saiz hidangannya, dan boleh dibahagi dua bagi mereka yang tidak makan banyak.
“Ada juga sebilangan pelanggan yang menyimpan lebihan sambal untuk keesokan harinya,” ujar Deborah.
“Saya tidak mencipta nasi lemak – ia wujud sejak sekian lama. Saya hanya mengambil sesuatu yang baik dan belajar bagaimana untuk menjadikannya lebih baik.
“Saya tidak meniru resipi. Saya melakukannya dengan mengingati bagaimana rasa itu menyatu dan dengan berlatih,” jelasnya.

Walaupun nasi itu sendiri terdiri daripada lapan ramuan, sambal tumis belacan air tangan Deborah menjadikan nasi lemaknya lebih menonjol berbanding yang lain.
Deborah mengakui dia mengambil masa tiga tahun untuk menyempurnakan sambal itu.
“Saya akhirnya menemui momen “aha” saya,” katanya, sebelum menambah bahawa “Semuanya ada kaitan dengan latihan – tidak ada orang yang terus jadi bagus.”
Deborah yang merancang untuk perlahan-lahan memperkenalkan hidangan baharu setelah memenangi kepercayaan pelanggannya, mengakui dia turut menerima permintaan khas untuk hidangan lain.
Santan X Sambal kini beroperasi di Lembah Klang, dari Selasa hingga Ahad. Anda boleh Whatsapp pesanan awal anda ke +6016 265 1013 (minimum 24 jam lebih awal). Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web dan Instagram Santan X Sambal.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]