Kisah tragis, keberanian ‘Mulan Malaya’ yang dilupakan

Kisah tragis, keberanian ‘Mulan Malaya’ yang dilupakan

Li Yue Mei, seorang wanita muda dari Pulau Pinang yang menyamar sebagai lelaki semata-mata untuk berkhidmat di barisan hadapan Perang Sino-Jepun pada 1939.

Li Yue Mei berpakaian seperti lelaki dan keluar dari Pulau Pinang pada tahun 1939 untuk berkhidmat di barisan hadapan Perang China-Jepun. (Gambar Chinatownology)
PETALING JAYA:
Ratusan sukarelawan “Nanyang” dari Pulau Pinang telah menyertai misi bahaya dalam menyalurkan bantuan kepada petugas barisan hadapan, ketika perang Sino-Jepun di China pada tahun 1939.

Di antara batalion sukarelawan yang berani itu, berdiri seorang wanita bernama Li Yue dari Pulau Pinang yang enggan akur kepada “stereotaip” terhadap kaum hawa pada ketika itu termasuk pembahagian tugas di “ground zero”.

Beliau menyembunyikan identitinya sebagai wanita dan tidak mendaftarkan diri sebagai jururawat. Sebaliknya beliau menjadi satu-satunya pemandu wanita yang ditugaskan dalam pasukan misi kemanusiaan itu.

Li yang pada ketika itu baru berusia 21 tahun, meninggalkan Pulau Pinang dengan mengenakan pakaian abangnya dan berhasil menempatkan diri sebagai pemandu dan mekanik lelaki.

Sukarelawan Nanyang direkrut dari seluruh Asia Tenggara untuk menjadi pemandu dan mekanik yang menghantar bekalan perang kepada tentera China. (Gambar Chinatownology)

Bagi menyempurnakan misi penyamarannya, beliau menukar namanya kepada Li Dan Ying. Beliau kemudiannya ditugaskan menempuh perjalanan sejauh 1,154 km ke kawasan berbahaya di Jalan Burma.
Perjalanan penuh risiko itu dimulakan Li pada March 1939, ketika beliau ditugaskan membawa kelengkapan dan peralatan perang ke China merentasi Jalan Burma.

Laluan itu yang merentasi Kunming, China ke Pelabuhan Yangon, Burma yang di perintah British, dibina kerajaan China bagi mengawasi kemaraan tentera Jepun.

Sepertimana mana sukarelawan Nanyang yang lain, Li juga tidak lepas dari ancaman bahaya, wabak Malaria , kemalangan mengerikan di sepanjang Jalan Burma yang cukup dikenali sebagai zon bahaya, begitu juga dengan serangan udara Jepun, yang mengancam ribuan nyawa.

Biarpun begitu, Li berjaya mengekalkan identitinya sebagai wanita dari rakan seangkatannya sehinggalah beliau ditimpa kemalangan jalan raya pada tahun 1940.

Jalan Burma adalah satu-satunya penghubung China dengan dunia luar. (Gambar Chinatownology)

Li bernasib baik kerana sempat diselamatkan dan dikejarkan ke hospital oleh rakannya Yang Wei Quan yang juga seorang pemandu. Kebimbangan Yang bertukar menjadi kejutan apabila beliau mendapati Li Dan Ying adalah seorang wanita yang cantik.

Khabar mengenai identiti sebenar Li dan keberaniannya tersebar ke seluruh tanahair. Ini sekaligus menjadikan Li sebagai idola dan sumber inspirasi kepada wanita di Malaya pada ketika itu.

Malangnya pendedahan mengenai identiti sebenar Li menyebabkan perkhidmatan beliau sebagai pemandu terpaksa ditamatkan namun beliau dibenarkan untuk meneruskan khidmat bakti sebagai jururawat.

Li mengenakan pakaian seragam Sukarelawan Nanyang. (Gambar Chinatownology)

Seperti filem Disney Mulan, Li akhirnya jatuh cinta dengan Yang dan pada tahun 1946 pasangan ini berkahwin. Mereka akhirnya kembali ke tanahair sebagai wira dan wirawati negara. Namun, Mulan versi Malaya tidak mempunyai pengakhiran yang bahagia.

Sekembalinya ke Pulau Pinang, pasangan pengantin baharu itu diarahkan ke Burma kerana tentera Jepun telah menawan Malaya.

Di Burma, Li dan Yang menjalani kehidupan sederhana yang aman damai. Mereka menjalankan perniagaan kedai kopi dan membesarkan 10 anak mereka. Bagaimanapun, pertemuan secara kasual bersama pemimpin China Zhou En Lai pada tahun 1954 mengubah nasib mereka sekeluarga.

Gambar dari tahun 1950-an Li bersama anak-anak dan suaminya Yang Wei Quan. (Gambar Arkib Negara Singapura)

Pemimpin China itu menggalakkan Li untuk menghantar anak-anaknya melanjutkan pelajaran ke China. Cadangan itu bagaimanapun ditentang oleh suaminya.

Dalam usaha untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik, Li dan anak-anak akhirnya berhijrah ke China pada tahun 1965, meninggalkan Yang sendirian di Burma.

Bagaimanapun, usaha Li berhujung kekecewaan apabila beliau dan anak-anak dikasari sebaik tiba di China, yang pada ketika itu sedang berdepan gelombang pergerakan sosiopolitik “Revolusi Budaya”.

Li sekeluarga berdepan tuduhan mempunyai jaringan kapitalis berdasarkan latarbelakang ayahnya yang merupakan seorang ahli perniagaan dan nasionalis yang juga berkhidmat sebagai Sukarelawan Nanyang. Tuduhan itu mengakibatkan keluarga Li dibuang ke kawasan pedalaman. Di situ, Li sering dimalukan dan dikasari oleh Pengawal Merah di khalayak umum.

Tidak tahan dengan penghinaan dan serangan keganasan yang dialaminya, Li akhirnya nekad menamatkan riwayat hidupnya pada malam 28 Ogos 1968, dengan mengelar pergelangan tangan dan menusuk bahagian dadanya dengan menggunakan pisau.

Revolusi Kebudayaan yang dilancarkan oleh Mao Zedong berlangsung dari tahun 1966 hingga 1976. Era berdarah ini menyaksikan kekejaman Pengawal Merah yang membunuh sesiapa sahaja yang disyaki mempunyai kaitan dengan kapitalis. (Gambar Wikipedia)

Anak-anak Li yang menyaksikan sendiri insiden tragis kematian ibu mereka, tidak dibenarkan untuk memberi penghormatan terakhir dan berkabung untuk Li. Pengawal Merah mengarahkan mereka untuk memutuskan pertalian dengan Li yang dianggap sebagai musuh Revolusi Budaya.

Jasad Li dibuang ke dalam jaring lalat dan dibiarkan mereput dalam kubur tidak bertanda selama bertahun-tahun sehingga akhirnya dibawa pulang ke Burma pada tahun 1976 oleh anak-anaknya.

Biarpun hidupnya berakhir dengan tragedi, Li Yue Mei diiktiraf sebagai seorang srikandi perang pada 23 Oktober 1976 oleh kerajaan China. Bagi rakyat Malaysia, beliau akan tetap dikenang sebagai anak jati Pulau Pinang yang rela menyerahkan jiwa raganya demi insan yang dicintai serta sahabat seperjuangan pada ketika itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.