
Sebaik ibunya mengangguk setuju, Jonas terus mencedok doh biskut cip coklat yang diukur dan dibentuk rapi menjadi bulatan kecil sebelum menyusun di atas dulang pembakar.
Jonas duduk di atas kerusi tinggi di meja dapur, tanpa mengalihkan konsentrasi terhadap tugasannya malah langsung tidak mengendahkan adiknya Jamian yang bising bermain berhampiran.

Jamian, 4 tahun, jelas teruja melihat kehadiran tetamu di apartmen studio mereka dan terus mengajak bermain kejar-kejar.
Sesekali, Jonah mendongak melihat gelagat adiknya yang ketawa mengekek seronok dilayan.
Namun, perhatiannya langsung tidak beralih daripada tugasan, Jonah terus menyusun doh biskut dengan penuh tekun.
“Jonah menyimpan impian untuk berlari seperti kanak-kanak lain, namun keadaan dirinya tidak mengizinkan, menyebabkan dia sering ditinggalkan bersendirian jika ke padang permainan.
“Dia pernah memberitahu saya, ‘Mak saya tiada kawan,’,” kata ibunya Miyumi Nagami, 29, sambil mengeluarkan biskut yang sudah siap dimasak dari ketuhar.

Jonah menghidap displasia skeletal, gangguan genetik jarang ditemui yang menjejaskan tulang dan sendinya, seterusnya mengganggu pertumbuhan serta pembesarannya.
Keadaan itu lazimnya mengakibatkan pembentukan tulang tidak normal terutama pada kepala, tulang belakang serta kaki dan lengan.
Miyumi menceritakan kepada FMT bagaimana ianya pertama kali dikesan ketika ujian pengimbas ultrabunyi kehamilan dilakukan. Waktu itu kandungan berusia enam bulan dan pengimbas menunjukkan ukuran tulang bayi tidak normal.
Doktor pada mulanya mendiagnos Jonah sebagai mengalami “dwarfism” (kerdil) tetapi kemudian mendapati tulangnya bukan saja pendek malah bengkok.
“Mereka menyangka tulangnya patah disebabkan kedudukannya senget, malah menyangka puncanya sebagai “Osteogenesis Imperfecta” (OI) atau turut digelar penyakit tulang rapuh.
“Namun, sebaik lahir doktor sekali lagi membuat diagnosis dan mujurlah dia bukannya menghidap OI, sebaliknya displasia skeletal.” ujar Miyumi.
Miyumi kemudian mengalihkan perhatiannya kepada Jonah yang duduk di kaunter dapur dan bertanya sama ada anaknya itu masih berminat meletakkan aising pada biskut “gingerbread” yang diletakkan bersebelahan pokok Krismas mereka.
Jonah menyambut cadangannya itu dengan senyum riang.

Neneknya Rina membantu cucu kesayangan itu turun dari kerusi tinggi sebelum Jonah terus menuju ke arah meja yang dipenuhi biskut “gingerbread” dan aising berwarna-warni.
Miyumi menjelaskan tulang Jonah lebih rapuh berbanding kanak-kanak biasa.
“Pernah sekali ketika usianya baru dua tahun, Jonah terjatuh dan menyebabkan tulangnya retak. Sehingga hari ini tulangnya mempunyai dua kesan keretakan, jadi memang perlu sentiasa berhati-hati. Apapun saya tetap bersyukur dia bukannya menghidap OI.” jelasnya.
Sambil cef cilik itu meletakkan aising pada biskut “gingerbread”, Miyumi menceritakan bagaimana anaknya itu memulakan rancangan YouTube sendiri selepas diinspirasikan rakan artis YouTube.
Miyumi yang sebelum ini menjadi suri rumah sepenuh masa berkata, beliau banyak menghabiskan masa di dapur bersama dua anaknya itu apabila mereka sama-sama memasak atau membakar kek dan biskut.
Aktiviti itu begitu diminati Jonah sehingga dia kerap meminta peralatan membakar untuk hari jadinya, berbeza dengan kanak-kanak lain yang lebih cenderung mahukan permainan atau telefon bimbit.
Diinspirasikan daripada semangat anaknya itu, Miyumi membantunya melancarkan Jonah Bakes pada pertengahan Disember yang menjual biskut “gingerbread” dan cip coklat.

“Biskut “gingerbread” itu menggunakan hasil resipi ibu saya dan kami terkejut apabila mendapat permintaan begitu tinggi untuknya. Sebelum ini hanya keluarga dan rakan-rakan yang menempahnya, namun kini ramai pula yang meminatinya sehingga kami tidak menang tangan,” kata Miyumi.
Sambil berbual, Miyumi memberikan biskut untuk dijamah.
Memang lazat, biskut yang rangup di luar tetapi lembut dan sedikit kenyal pada bahagian dalam itu cukup memuaskan dengan rasa manis serta masin yang membangkitkan keenakannya.

Di sebalik kemanisan hidup mereka sekarang, Miyumi mengakui keadaan sebelum ini tidaklah begitu indah, malah beliau baru melepaskan diri daripada perkahwinan yang dibelenggu keganasan.
“Saya membesar tanpa ayah jadi tidak mahu anak-anak turut merasai pengalaman sebegitu. Disebabkan itu saya terus cuba bertahan dalam perkahwinan walaupun kerap didera. Namun akhirnya saya tidak tahan lagi dan tahun lalu saya berjaya melarikan diri bersama anak-anak dengan bantuan sepupu.”
“Kami tinggal bersama sepupu sehingga saya mendapat kerja stabil sebelum berpindah ke apartmen studio kecil ini. Sewanya tidak terlalu mahal dan kami mampu hidup selesa,” kata Miyumi yang menjual karpet untuk menyara kehidupannya.
Namun, ibu tunggal dua cahayamata itu masih perlu memikirkan masa depan anak-anaknya termasuk pengangkutan dan sekolah yang boleh menerima Jonah, tahun depan.
Impiannya adalah supaya Jonah Bakes cukup berjaya sehingga beliau mampu berhenti kerja untuk membantu anaknya membakar biskut dan menjaga dua beradik itu sepenuh masa. Namun lebih penting lagi, dia boleh memberi pelajaran kepada Jonah dari rumah.

Miyumi berkata, cef ciliknya itu akan menghasilkan manisan baru sempena Tahun Baharu Cina kelak.
Sedang serius menghiaskan biskut, Jonah tiba-tiba meletakkan beg aising digunakannya dan meminta neneknya Rina membantu melurutkan apron yang dipakai.
Dia terus “berubah” menjadi dinosaur dan mengejar adiknya Jamian dan apartmen studio itu dipenuhi dengan hilai tawa mereka.
Mungkin juga itulah bahan rahsia untuk biskut cip coklat yang sempurna: kasih sayang dan ketawa gembira.
Apapun bahan rahsianya, hasil air tangan Jonah Bakes memang cukup sempurna.
Bagi membuat tempahan, anda boleh melayari laman web mereka di sini atau hubungi 016 2383423. Untuk maklumat lanjut, lihatlah laman Instagram mereka di sini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]