
Pada April lalu, cucu saya Dinda Rizkya dibawa bondanya ke pusat latihan gajah di Saree Aceh, Indonesia. Boleh dikatakan ia satu sanctuary. Untuk ke Saree akan ambil masa satu jam berkereta dari Banda Aceh.
Di situ Dinda berjumpa Yuyun, anak gajah berusia enam tahun, lantas Dinda yang ketika itu berusia tujuh tahun memperkenalkan dirinya: “Hi, nama saya Dinda”.
Saya tidak bersama ketika pertemuan itu tetapi apabila tonton video kemudiannya, dilihat seolah-olah si Yuyun faham apa yang dikatakan oleh si Dinda. Ada chemistry antara keduanya. Ada bond. Maybe its just me — seorang atok yang sentimental melihat cucunya bersama anak gajah yang jinak. Namun sememangnya gajah haiwan pintar, menurut kajian ahli sains dan bukan sembang kosong yang dikutip di kedai kopi.
Menurut warden pusat itu — si Yuyun dan kelompok keluarganya sebelum ini tinggal di kawasan lain — jauh dari Saree Aceh. Suatu hari banjir melanda dan ayahnya mati ditenggelami air. Yuyun dan ibunya sempat keluar sebelum air naik. Dipendekkan cerita yang panjang, Yuyun dan ibunya diselamatkan dan ditempatkan di pusat latihan.
Lebih satu jam juga Dinda bermain-main dengan Yuyun. Apabila tiba masa untuk pulang, rasa sedih apabila Dinda ucap selamat tinggal. Ditakdirkan Dinda berkesempatan datang semula ke Saree Aceh, pasti Yuyun akan mengenalinya. Pasti ingat budak ini.
Menurut kajian Southern Thailand Elephant Foundation yang dipetik laman web Indonesia, detikEdu, gajah disebut sebagai mamalia dengan ingatan kuat. Dengan berat otak gajah boleh mencapai sekitar 5kg, lapis luar otak atau cerebral cortex juga besar dan berkaitan dengan kemampuan berfikir di alam sedar, menangani masalah, mengingat masa lalu, dan membentuk ingatan.
Persoalannya adakah Dinda dapat bertemu semula Yuyun? Kita tahu Aceh dan kawasan lain di Sumatera dilanda banjir besar bermula 26 November lalu. Adakah Yuyun selamat seperti dia terselamat waktu banjir beberapa tahun lalu yang dikatakan tadi meragut nyawa ayahnya?
Dinda hampir setiap hari bertanya ayah dan bonda bagaimana keadaan Yuyun sekarang. Ayah dan bonda tidak punya jawapan kerana pusat latihan gajah di Saree Aceh tidak dapat dihubungi. Mereka beritahu Dinda kita sama-sama berdoa Yuyun tidak ditimpa musibah.
Banyak haiwan pelbagai jenis jadi korban pada banjir ini. Menurut laporan AFP tempoh hari, yang terancam termasuk orangutan. “Indonesia floods pose ‘extinction-level’ threat to world’s rarest great ape, the Tapanuli orangutan,” kata agensi berita antarabangsa itu. Jumlah korban manusia pastinya tinggi. Dianggarkan lebih 1,000 terkorban setakat ini.
Yang survived kesusahan. Jumlah mereka puluhan mungkin juga ratusan ribu. Tempat tinggal harta benda musnah. Banjir sudah surut di banyak tempat tetapi kesannya amat menyayat hati. Sampah sisa banjir bertimbun. Lumpur tebal ada yang sedalam paras dada semakin mengeras. Bekalan makanan terjejas. Bekalan air bersih boleh dikatakan tiada. Bekalan elektrik dan air juga masih terjejas. Di banyak kawasan bekalan on-and-off, kejap ada kejap tiada. Banyak kemudahan awam rosak. Malah ada hospital turut dinaiki air semasa banjir memuncak minggu lalu, pernah bergelap dengan tiada bekalan air, amat mencabar untuk memberi rawatan. Sekarang jumlah pesakit bertambah tetapi peralatan dan ubat-ubatan berkurangan.
Kerja membersih dijalankan oleh penduduk yang sudah keletihan, dibantu sukarelawan dan anggota kerajaan tempatan, tetapi mereka serba kekurangan lantas kemampuan terhad. Yang diperlukan jentera berat untuk mengangkut sampah dan lumpuh. Bekalan air deras juga perlu. Semuanya tiada, kalau ada pun amat kurang. Itu belum cakap pasal pembinaan semula rumah yang musnah. Ada lagi kawasan yang masih terputus hubungan dengan dunia luar. Ada banyak kes tanah runtuh. Paling membimbangkan cuaca masih tidak menentu.
Bukan tiada bantuan dan bekalan makanan dan perubatan dibawa masuk tetapi dikatakan masih pada kadar perlahan. Sudah tiga kali Presiden Prabowo Subianto datang meninjau namun sehingga kini beliau belum mengisytiharkan banjir Sumatera sebagai bencana nasional.
Pengisytiharan itu akan membolehkan pelbagai aset pemerintah pusat termasuk milik tentera digunakan untuk kerja pembersihan, mencari dan menyelamat, dan membantu mangsa yang masih di pusat pemindahan. Tanpa itu bantuan yang diperlukan termasuk dari negara luar tidak dapat disalurkan. NGO luar juga mengalami kesukaran dan terpaksa melalui prosedur tertentu yang rumit untuk membawa masuk bekalan. Bantuan Malaysia tempoh hari termasuk perubatan dan menghantar doktor berlaku kerana gabenor Aceh dilapor membuat permohonan peribadi secara langsung kepada PMX.
Desakan rakyat Indonesia supaya Prabowo mengisytiharkan bencana nasional semakin kuat dan lantang. Lihat sahaja platform media sosial yang dikendali warga Indonesia dan komentar oleh wartawan sama ada medium cetak, elektronik dan portal berita dalam talian.
Sebelum tulis artikel ini saya nampak satu hantaran ala surat terbuka kepada Prabowo di Instagram. Pastinya dihantar oleh warga Indonesia. Hantaran berbunyi:
“Kepada Yth Bapak Presiden Republik Indonesia. Tetapkan status bencana nasional. Negara-negara sahabat sudah siap membantu — tapi semua terhenti tanpa status bencana nasional. Jangan biarkan rakyat menanggung derita.”
Aneh mengapa Prabowo masih berlengah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.