
Apa yang tertera pada tajuk penulisan ini memang menyedihkan tetapi bukan memeranjatkan. Ramai yang berharapan tinggi keamanan akan terjalin apabila Israel bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza. Realitinya dalam satu bulan selepas pengisytiharan, Israel melancarkan serangan setiap hari dan membunuh ratusan orang.
Menurut Al Jazeera, Israel melanggar perjanjian damai sekurang-kurangnya 282 kali dalam tempoh antara 10 Oktober dan 10 November, menerusi serangan udara, meriam dan tembakan. Katanya lagi, Israel menembak orang awam 88 kali, menyerbu kawasan penempatan melepasi apa yang dipanggil garis kuning 12 kali, mengebom Gaza 124 kali, dan memusnahkan harta orang awam 52 kali. Di samping itu, Israel menahan 23 warga Palestin di Gaza dan menghalang kemasukkan bantuan kemanusiaan penting, selain memusnahkan kediaman dan prasarana.
Itu berdasarkan fakta yang diperolehi Al Jazeera sepanjang jangka masa disebut tadi. Pasti statistik akan meningkat kerana Israel tidak tunjuk tanda-tanda akan berhenti melanggar gencatan senjata.
Perlu diingat Israel bersetuju dengan gencatan tatkala ia dikecam hebat masyarakat antarabangsa, termasuk negara sekutu atau pro-Israel, malah terpaksa menerima cadangan pelan damai 20 perkara anjuran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang diumum 29 September lalu. Persetujuan itu membolehkan Israel bernafas setelah ditekan, namun perlu dinyatakan cadangan 20 perkara itu digubal tanpa input daripada pihak Palestin, termasuk Hamas, meskipun ia bertujuan menghentikan perang Israel ke atas Gaza.
Sejak awal beberapa syarat dan terma tidak mendapat persetujuan Palestin terutama Hamas. Boleh disimpulkan Hamas terpaksa akur demi menyelamatkan rakyat Palestin daripada terus menjadi mangsa kekejaman Israel. Pada masa sama Israel menunjuk kepada dunia kononnya ikhlas mahu keamaman lantas bersetuju dengan pelan damai yang Palestin anggap berat sebelah. Namun ada juga laporan Israel tuduh Hamas ingkar gencatan.
Pada hemat saya jika sesuatu dilakukan Hamas atau mana-mana kumpulan Palestin yang dilihat bertentangan dengan syarat pelan damai, maka Israel akan menyalahkan Hamas dan puak Palestin manakala Israel will come out smelling like roses. Apatah lagi apabila Hamas tiga hari lalu menolak resolusi PBB mengenai Gaza yang disifatkan sebagai tidak memenuhi hak rakyat Palestin. Resolusi itu antaranya menyeru supaya satu pasukan antarabangsa ditempatkan di Gaza.
Hamas menolak dengan alasan ia gagal menghormati tuntutan dan hak rakyat Palestin. Hamas turut mengecam penubuhan pasukan antarabangsa yang misi mereka termasuk melucutkan senjata kumpulan-kumpulan Palestin di Gaza. Keengganan Hamas dan kumpulan Palestin mengizinkan senjata dilucut sudah dijangka, berdasarkan apa yang Israel lakukan sepanjang tempoh gencatan.
Hamas juga menyifatkan kehadiran pasukan antarabangsa bagai satu lagi bentuk penaklukan Gaza oleh pihak asing. Hentikan penaklukan Israel tetapi digantikan dengan penaklukan antarabangsa. Begitu Hamas melihat rancangan itu.
Kenyataan Hamas berkata “Resolusi PBB mengenakan satu bentuk pentadbiran amanah antarabangsa ke atas Semenanung Gaza yang ditolak rakyat kami, pasukan kami dan semua komponennya”.
Antara ‘pentadbir’ dalam badan tadbir urus yang akan memerintah Gaza sekurang-kurangnya buat masa terdekat ialah bekas perdana menteri United Kingdom, Tony Blair. Penglibatan Blair dalam pembinaan semula Gaza pascaperang tidak disenangi pelbagai pihak khusus di Timur Tengah.
Blair bawa elemen negatif. Kehadirannya menimbulkan tanya tanya disebabkan sejarah imperialisme British di Timur Tengah dan peranan Blair dalam pencerobohan Iraq, atas dakwaan bahawa Iraq ada senjata pemusnah besar-besaran atau weapons of mass destruction (WMD) yang terbukti palsu. Blair dikecam selepas dakwaan tersebut terbukti tidak benar. Pencerobohan Iraq diterajui AS bermula pada 2003 dan berundur pada 2011. Ribuan rakyat Iraq terkorban. Pencerobohan itu menyebabkan ketidakstabilan di rantau Timur Tengah yang dirasai sehingga sekarang.
Ketika itu Blair berganding bahu dengan Presiden AS George W Bush. Kali ini adakah beliau berganding pula dengan Trump? Kata Francesca Albanese, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Palestin: “Tony Blair? Tidak sama sekali. Jangan campur tangan urusan Palestin”.
Mengambil kira ketidakadilan perjanjian damai anjuran AS yang tidak mengambil kira maklum balas Palestin sejak awal, dan semua faktor yang dihuraikan di atas, boleh difahami kebimbangan, kesangsian serta rasa syak Hamas. Tetapi ini menjejaskan gencatan (yang memang sudah diingkari Israel) serta menyukarkan keamanan dicapai. Seperti dikatakan tadi Israel akan mendakwa mereka ‘budak baik’ yang mahu keamanan manakala kumpulan Palestin ‘budak jahat’ yang mahu sebaliknya.
Apabila sekutu Israel yang sekarang bersimpati terhadap Palestin termakan apa yang dicanang Israel, maka Israel akan bebas melakukan apa yang mereka mahu termasuk menyambung perang di Gaza.
Tiga hari lalu, Majlis Keselamatan PBB meluluskan resolusi yang dirangka AS bagi mengukuhkan pelan damai Gaza termasuk penempatan pasukan antarabangsa dan laluan ke arah pembentukan sebuah negara Palestin pada masa depan. Sebanyak 13 undi menyokong teks berkenaan yang disifatkan Washington sebagai ‘bersejarah dan konstruktif’. Hanya Rusia dan China berkecuali — tetapi tiada kuasa veto digunakan.
Pada pandangan saya, Trump mesti pastikan pelan damai anjurannya berjaya. Beliau mesti beritahu Benjamin Netanyahu supaya patuh syarat gencatan dan seterusnya pelan damai.
Trump semasa di parlimen Israel pada Oktober lalu selepas pelan damainya dimeterai berkata: “Bibi (Netanyahu) you can be nice now, you’re no more at war”. Kata-kata itu merujuk hubungan Netanyahu dengan pemimpin pembangkang di Israel tetapi bagi saya ia mesti digunakan untuk menjamin keamanan di Gaza. Trump mesti mengulangi kata-kata itu kepada Netanyahu. Kali ini dengan keras.
Jika pelan damai gagal maka Trump yang gagal. Bukankah beliau dengan bangga berkata beliau berjaya lakukan apa pemimpin lain tidak mampu lakukan?
Trump juga mesti beritahu Netanyahu hapuskan hasrat dan tarik balik kata-kata, “there will never be a Palestinian state”. Adakah Trump akan melakukan itu semua? That has been always the question but I certainly hope so.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.