
Sehari selepas Donald Trump meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke Jepun, Sidang Kemuncak Asean–China pula diadakan. Menyusuli Sidang Kemuncak Asean 2025. Ini kali ke-28 sidang Asean–China diadakan. Dalam ucapan pembukaan sidang kali ini, Perdana Menteri China Li Qiang membuat gesaan.
Aspek pertama gesaan beliau membabitkan perpaduan. Li menggesa negara Asean memperkukuhkan perpaduan. Aspek kedua (yang pada hemat saya amat menarik) ialah mengenai mempertahankan hak rantau ini ‘daripada tekanan ekonomi serta buli oleh kuasa besar’.
Kata beliau seperti dilapor FMT semalam: “Perlindungan ekonomi secara unilateral telah menjejaskan sistem perdagangan global. Campur tangan
kuasa besar luar semakin ketara dan banyak negara dikenakan tarif yang tidak munasabah.”
Li tidak menamakan ‘kuasa besar’ yang beliau cakapkan. Namun, tidak perlu jadi pakar ekonomi untuk tahu siapa yang dimaksudkan. Awal tahun ini
Amerika Syarikat memperkenalkan tarif ke atas hampir semua negara dan mengenakan tarif tambahan terhadap negara dianggap mempunyai kelebihan perdagangan tidak seimbang dengannya.
China dikenakan kadar tarif tinggi. China bertindak balas mengenakan tarif ke atas barangan AS. Juga kadar tinggi. Trump terus mengancam akan
kenakan kadar lebih tinggi. Akibatnya hubungan ekonomi AS tegang sehingga sekarang. Ertinya ada ‘trade war’ antara dua negara.
Semasa AS mengenakan tarif ke atas negara Asean, negara anggota dilihat mula memandang ke China. Lawatan Presiden Xi Jinping ke rantau ini termasuk Malaysia amat memberangsangkan. Malah beberapa negara Asean berjinak-jinak dengan China yang tentunya disenangi Beijing tetapi membimbangkan Washington.
Tetapi, semasa Trump hadir pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur tempoh hari, negara anggota secara am menyambut baik kehadirannya. Malaysia pula menandatangani perjanjian dagangan baharu degan AS.
Perjanjian itu dikatakan membantu menjamin hubungan dagangan Malaysia-AS dan mengelak tarif timbal balik lebih tinggi. Mungkinkah Beijing melihat perkembangan di Sidang Kemuncak Asean 2025 satu isyarat Asean kembali pro-AS? Mungkinkah itu mendorong Li Qiang membuat gesaan disebut tadi?
Namun, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Asean komitmen teguh blok serantau itu (tentulah termasuk Malaysia) terhadap prinsip kepusatan terserlah melalui hubungan konstruktifnya dengan AS dan China – di samping usaha berterusan memperkukuh kerjasama dengan pelbagai rakan kongsi antarabnagsa lain.
Anwar dipetik berkata semalam: “Sehari sebelum ini kami bersama Presiden AS Donald Trump dan hari ini kami kembali bersama China. Ini jelas mencermin prinsip kepusatan Asean.”
Ini langkah pragmatik. Anggota Asean negara kecil dan adalah wajar ia berbaik dengan kuasa besar AS dan China. Asean mesti lakukan yang terbaik untuk diri sendiri.
Perlu dinyatakan selepas lawatan ke Jepun Trump dijadual ke Korea Selatan untuk menghadiri Forum Apec atau Asia Pacific Economic Cooperation. ‘On the sidelines’ ialah sesuatu yang pastinya menarik perhatian dunia – yakni perbincangan Trump dengan Xi yang dijangka diadakan esok.
Menurut CNN ‘US and China have reached a framework agreement on trade ahead of Trump-Xi meeting’. Ini berikutan rundingan diadakan oleh pegawai AS dan China di Kuala Lumpur sebelum Trump mendarat di Malaysia Ahad lalu.
“And it was shortly after Trump touched down on Sunday that the positive trade talk signs emerged.” kata CNN. Pasukan pegawai AS diketuai Setiausaha Perbendarahan Scot Bessent dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.
Bessent memberitahu CBS News ‘the 100 percent tariffs on Chinese goods that Trump previously threatened were effectively off the table’. Dan menurut Reuters ‘US President Donald Trump and China’s Xi Jinping eye a deal that could ease trade tensions’.
Sesungguhnya, ‘a good deal will do both countries a lot of good’. Perang dagangan berpanjangan tidak akan menguntungkan kedua-dua pihak. Lantas AS dan China mahu cari penyelesaian.
Berdasarkan ini, langkah atau strategi Asean berbaik dengan AS dan China serentak adalah paling tepat. Bayangkan si A yang bertubuh tegap bergaduh dengan si B yang juga bertubuh tegap. Dan si C pula yang bertubuh kecil ambil keputusan untuk memihak. Katalah berpihak dengan B. Sekali gus menimbulkan kemarahan si A. Tetapi jika atau apabila A dan B berbaik semula si C akan terpanggang.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.