Bukan senang cari solusi yang bukan senang

Bukan senang cari solusi yang bukan senang

Penyelesaian cukup susah. Akan tiada formula yang menjamin kejayaan 100%. Setiap cadangan ada aspek positif dan negatif.

Mohsin Abdullah

Pelbagai pihak telah dan masih tampil beri cadangan untuk mengatasi masalah besar dihadapi negara ketika ini – peningkatan insiden keganasan dan jenayah di sekolah membabitkan pelajar.

Tidak dinafikan mereka semua ikhlas dan didorong rasa prihatin, peduli serta kasih sayang. Semua mahu lihat masalah ini diatasi segera. Mungkin ada yang naif, mengharapkan formula ajaib yang akan hapuskan sama sekali masalah ini. Namun, lontaran idea mereka mesti dihargai jua.

Penyelesaian cukup susah. Akan tiada formula yang menjamin kejayaan 100%. Setiap cadangan ada aspek positif dan negatif. Harapan kita setiap satu diberi pertimbangan wajar, penelitian rapi dan kajian mendalam.

Ada pihak mahu kandungan pendidikan ditambah baik bagi membantu mengawal selain menerap nilai murni dan akhlak mulia dalam kalangan pelajar.

Bukan niat saya meremeh cadangan ini. Cuma ingin bertanya adakah sukatan pelajaran sedia ada tidak menekankan aspek nilai murni dan akhlak mulia? Atau tidak mencukupi lantas difikir perlu ‘tambah beban’ kepada pelajar dan guru?

Agamawan pula pasti mahu penekanan diberi terhadap aspek agama. Peranan agama tidak dinafikan amat penting, tetapi selama ini pengajaran dan tuntutan agama sememangnya sudah diberi kepada pelajar. Namun, sedihnya ada kes tidak senonoh juga memalukan dilakukan pelajar sekolah agama pula, malah ada dalam kalangan tenaga pengajarnya.

Saya kira hanya dengan berkata ‘kembali kepada agama’ tidak cukup. Agak simplistik untuk mencari penyelesaian kepada masalah besar yang sedang dihadapi.

Mungkin cara pengajaran atau penyampaian mahu dilihat semula? Wallahuaklam. Saya bukan pakar agama, tetapi bagaimana pula pelajar bukan Islam? Apa yang harus dilakukan untuk mereka?

Ada cadangan termasuk daripada kerajaan melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar berumur 16 tahun ke bawah. Ini kerana pengaruh media sosial serta permainan dalam talian diakses pelajar menerusi gajet, dan ia dilihat sering menjurus kepada tingkah laku buruk pelajar.

Teringat zaman anak-anak saya bersekolah lama dahulu. Zaman ‘handphone’ yang menawarkan kaedah SMS. Apabila pelajar dilarang membawanya ke sekolah saya tidak setuju.

Kerana bagi saya telefon itu penting untuk saya hubungi anak. Membolehkan saya tahu masa untuk datang menjemput mereka pulang – sama ada dari stesen LRT atau sekolah. Ini berikutan bermacam aktiviti di sekolah yang diadakan di luar waktu persekolahan biasa.

Itu zaman telefon bimbit. Sekarang zaman telefon pintar. Yang terlalu pintar sehingga membodohkan dan menjahatkan. Pengguna yang leka.

Bagaimanapun, umum tahu telefon pintar boleh digunakan juga untuk perkara baik. Al-Quran boleh dimuat turun. Malah ada juga peringatan masuknya waktu sembahyang. Ini untuk pelajar Islam. Untuk semua pelajar termasuk yang bukan Islam ada e-book yang bermanfaat.

Larangan tentunya pada waktu sekolah. Apabila di rumah atau di luar bersama kawan-kawan – bagaimana? Adakah pasukan khas atau polis dikerah memantau?

Bercakap mengenai polis Putrajaya sedang menimbang untuk menempatkan anggota di sekolah seluruh negara. Kata jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil perkara itu dibincangkan dalam konteks peranan pasukan polis yang ‘sentiasa hadir’ di lapangan.

Adakah bilangan atau jumlah anggota polis mencukupi untuk menjalankan tugas ini? Membabitkan sekurang kurang 10,000 sekolah? Memang diakui kehadiran polis boleh beri isyarat sekolah tempat selamat. Pelajar yang nakal (baca jahat?) akan gerun.

Pelajar baik bagaimana? Adakah kehadiran polis akan beri kesan negatif? ‘Feedback’ pakar psikologi mesti diperoleh terlebih dahulu.

Ada juga pihak yang menyarankan anggota tentera bersara dilantik warden sekolah khususnya asrama. Setuju atau tidak?

Selain itu, ada cadangan CCTV dipasang di sekolah dan asrama. Diletak di tempat atau sudut tertentu. Betul. Privasi pelajar kena jaga juga. Apa pun langkah pasang CCTV adalah baik. Tetapi, ada juga orang kata sekolah dan asrama kelihatan atau dirasakan seperti kem tahanan.

CCTV membolehkan pengawasan juga merakam keadaan dan suasana. Bagaimanapun, bagi saya ada CCTV mesti ada orang yang ‘monitor’ setiap waktu. Jika berlaku sesuatu insiden orang yang mengawasi mesti menggerakkan pasukan bertindak pergi ke tempat kejadian atau dia sendiri berbuat demikian.

Maksud saya mesti ada ‘response team’. Tiada makna ada CCTV tetapi tidak ada ‘response team’ yang bergerak pantas untuk menghalang perbuatan jenayah yang sedang berlaku. ‘To act upon crime in progress’.

Rakaman CCTV memang membantu kesan pelaku jenayah tetapi setelah jenayah itu terjadi. Ia berguna untuk mengesan si pelaku jenayah. Diulangi setelah jenayah dilakukan.

Beralih kepada rotan. Semakin ramai orang yang mencadangkan hukuman merotan pelajar sekolah diperkenalkan semula. Zaman saya sekolah dulu memang ini amalan lazim. Saya antara penerima utama sebatan. Namun, pelajar dirotan kerana melanggar disiplin sekolah, tidak buat ‘homework’, ponteng. Sekadar beberapa contoh. Ertinya dirotan setelah kesalahan dilakukan.

Bolehkah dengan kembalinya hukuman rotan jenayah buli, rogol dan sebagainya dapat dicegah? Sebelum ia dilakukan? Sekali lagi pandangan pakar dimohon.

Harapan saya jangan ada unsur keterlaluan walau apa juga langkah dan tindakan bakal diambil. Contoh. Pelajar lelaki 14 tahun yang terlibat kes tikam pelajar perempuan 16 tahun tempoh hari dikatakan telah membeli senjata tajam yang digunanya melalui ‘online’.

Jangan pula kerana itu semua urusan e-commerce pembelian dalam talian terutama pisau (untuk kegunaan di dapur) disusahkan. Ini saya kata kerana ‘we tend to overreact at times’. Mungkin juga ‘most of the time’.

Diulangi bukan saya mengecilkan cadangan yang diutarakan. Jika setelah dikaji dan diteliti didapati ia boleh bawa hasil yang dihajati sila laksana.

Kesimpulan terbaik saya kira dibuat Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli. Sebenarnya bukan beliau seorang yang berkata begini atau berkata seperti beliau:

“Setiap ibu bapa – kita – kena cermin diri kita dulu. Sebab kita kena tanya berapa banyak kita habiskan masa dengan anak-anak kita? Berapa banyak sebenarnya perangai kita, sikap kita, keterlanjuran kita beri pengaruh kepada anak-anak tanpa kita sedar.

“Berapa banyak kita tahu tentang apa yang berlaku dengan anak-anak kita? Itu kelemahan yang saya rasa perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.”

Jika anda ibu bapa adakah anda sependapat?

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.