Kesuma wajar beroleh peruntukan lebat

Kesuma wajar beroleh peruntukan lebat

Kementerian Sumber Manusia yang namanya kesuma itu demikian harum. Saya kira kementerian ini berada di bawah pimpinan yang betul.

faisal tehrani

Hari bajet bakal tiba lagi. Kebiasaannya apabila tiba hari pembentangan belanjawan oleh menteri kewangan di Dewan Rakyat, saya akan melakukan satu ritual — perkara paling munasabah — iaitu menekuni prestasi kementerian (baca: menteri dan penjawat awam) untuk kita angkat. Atau, untuk kita hentak.

Ini kerana saya berpendapat kementerian yang unggul prestasinya perlu diberi satu penghargaan. Tidak lain tidak bukan, dalam bentuk belanja yang lebih.

Memang, mudah untuk menghenyak, terutama kalau menteri dan kementerian itu memang jenis patut dihentak dan tidak menunjukkan prestasi memberangsangkan. Barang diingat, kita pengundi, kita rakyat majikan para politikus dan menteri ini. Kita mempunyai hak untuk melengserkan mereka jika apa yang dilakukan tidak mencapai jangkaan.

Akan tetapi, satu hal lebih sukar untuk dikemukakan sebagai ritual perenungan sebelum ‘Jumaat Belanjawan’ adalah meneliti prestasi kementerian dan menteri yang bagus. Atau menteri yang telah melepasi jangkaan kita.

Saya berpendapat kementerian yang wajar dipuji tidak lain tidak bukan adalah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). Jika pembaca tidak tahu, wajar dinyatakan di sini, dalam bahasa Melayu arkaik, kata kesuma itu bermakna rupawan, molek, elok terletak dan senonoh.

Saya tidak dapat membayangkan — dengan pengertian yang demikian hebat itu tadi — kalau menteri yang ditugaskan di kementerian ini lesu, terperuk, tidak bermaya, berkelakuan buruk apatah lagi tidak semenggah.

Kementerian Sumber Manusia adalah sebuah kementerian buangan selalunya. Sebagai seorang yang pernah hidup melampaui sembilan perdana menteri, seingat saya kementerian sumber manusia; yang mana fungsi lamanya merujuk kepada buruh, tenaga manusia dan tenaga kerja sering tidak dipandang orang. Jarang kementerian dan menteri ini dipandang terhormat. Kita malah kurang mengingat menteri yang pernah berada di sini.

Akan tetapi di bawah Steven Sim, Kementerian Sumber Manusia yang namanya kesuma itu demikian harum. Saya kira kementerian ini berada di bawah pimpinan yang betul. Saya mendengar penjawat awam di bawah kementerian ini acap turun padang ke setiap negeri untuk berada di lapangan bagi mendapatkan pandangan selain mendalami masalah yang dihadapi oleh pekerja.

Sesebuah kementerian jika dipimpin oleh seorang nakhoda yang ada hala tuju dan jelas arahnya, maka penjawat awam di situ selaku pelaksana akan seronok bekerja. Ini kerana mereka tahu ke mana jihat haluan. Saya dengar dari kawan-kawan yang berada di kementerian ini, Kesuma di bawah Steven menggariskan tiga aspirasi iaitu untuk meningkatkan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan pekerja. Semua langkah dan dasar Kesuma digerakkan seputar ini.

Sejak pembentangan belanjawan terdahulu, Kesuma di bawah pimpinan Steven berusaha dengan tegas melaksanakan kadar gaji minimum baharu iaitu RM1,700 sebulan dan angka ini untuk pekerja asas dengan kelayakan dan kemahiran rendah, bukan untuk semua pekerja, termasuk siswazah.

Selain itu Dasar Gaji Progresif (DGP) pula sedang diusahakan untuk menggalakkan pembayaran gaji lebih tinggi. Steven memang diberi peranan utama untuk menggerakkan pelaksanaan Projek Perintis DGP ini, demi membantu pekerja beroleh gaji lebih bermaruah berdasarkan kemahiran dan produktiviti mereka. Dasar ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan gaji pekerja tetapi turut mensasarkan agihan pendapatan secara lebih seimbang.

Seiring dengan dua kerja keras di atas, dalam bajet lalu Kesuma turut beroleh peruntukan tambahan menerusi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK). Ia bertujuan menggalakkan institusi TVET membangun dan memperkasa program latihan supaya dapat memenuhi keperluan semasa pihak industri. Harapannya adalah tenaga kerja dalam bidang-bidang berkaitan industri berimpak tinggi melibatkan bahan termaju atau advanced materials, mekanisasi ladang serta automasi pertanian dan perladangan, teknologi elektrik dan kenderaan elektrik dapat diberi nilai tambah.

Ya harap-harapnya setelah melatih tenaga kerja demikian cemerlang tidaklah mereka lari ke negara lain, bukan begitu?

Bercakap mengenai graduan kita, Ogos lalu, Steven dengan kreatif membuka jalan untuk majikan memanfaatkan sehingga RM2 bilion daripada dana levi Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD) untuk menggajikan siswazah. Ini merupakan satu berita gembira memandangkan inisiatif yang saya sebut di atas akan membantu majikan meningkatkan aliran tunai, bahkan dapat memberi nilai lebih tinggi kepada modal insan. Majikan juga boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan dengan gaji lebih tinggi, dan menyediakan latihan sambil bekerja kepada siswazah.

Sesuai dengan ritual menghenyak atau mengangkat kementerian tertentu sebelum bajet dibentang, saya juga menjejaki kerja-kerja lain Kesuma. Saya mendapati Steven tahu menggunakan peruntukan dengan teratur misalnya dalam hal dana Geran Padanan Caruman SKSPS sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan dalam Belanjawan 2024, Kesuma menggunakannya untuk membantu individu yang bekerja sendiri melindung diri di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso. Bukan itu sahaja, Kesuma di bawah pengemudian Steven mengawal Perkeso dari sekadar menjadi ‘agensi bayar pampasan’. Sebaliknya Perkeso juga sudah mampu mengawal selia secara aktif untuk membanteras salah guna, agar mengelakkan ketirisan, khususnya untuk kita marhaen yang menyumbang setiap bulan ke dalam sistem.

Adalah penting untuk seseorang menteri bukan hanya mencipta dasar, tetapi juga berjaya memastikan kejayaan pelaksanaan dasar itu jangan sampai dimanipulasi. Kita mahu membaca berita bajet dan belanja yang diperuntukkan oleh kerajaan itu memang sampai kepada mereka yang berhak.

Tentu sahaja menyebutkan Kesuma, dan Steven tidak dapat tidak kita akan perlu menyentuh Rang Undang-undang Pekerja Gig. Malah, rang undang-undang ini cukup wangi dan harum sehingga kita beroleh pujian hangat dari negara jiran, Indonesia.

Selepas graduasi dari Fakulti Syariah Universiti Malaya pada 1998, selama sedekad lamanya saya menjadi pekerja sendiri. Saya bekerja sebagai freelance menulis dan membimbing bengkel penulisan, mengambil upah mengarang dan lain-lain. Justeru saya dapat akui RUU Pekerja Gig ini gapura indah berbentuk perlindungan dan pengiktirafan rasmi kepada sektor gig.

Jangan baca komen nista yang dengki, RUU Pekerja Gig ini satu momen bersejarah untuk lebih 1 juta pekerja yang hari ini mencakupi mereka yang bekerja dalam ekonomi gig seperti p-hailing, e-hailing, freelancer, dan pelbagai perkhidmatan dalam talian.

Dengan 246 platform digital berdaftar yang menggerakkan sektor ini, mereka perlu menghormati hak pekerja di mana perlu ada kontrak jelas memaklumkan terma dan syarat perjanjian perkhidmatan yang dipersetujui; dan bermacam lagi. Terdapat kejelasan pada kaedah pembayaran pendapatan, tip dan ganjaran, dan faedah lain; dan paling utama pekerja tidak boleh ditamatkan perkhidmatan tanpa alasan atau sebab yang munasabah; dan hendaklah disediakan dengan apa-apa mekanisme penyelesaian pertikaian.

Sebagai mercu tanda bermakna, RUU Gig ini betul-betul mengangkat maruah pekerja dan suka tidak suka, kawan dan musuh perlu memandang dan melihat kepada Steven selaku menteri di Kesuma.

Dalam keadaan kos sara hidup yang meningkat, kita sering mendengar keluhan rakyat khususnya yang menetap di bandar untuk mendepani cabaran inflasi dan ekonomi sejagat yang menekan.

Pada saya kejayaan besar Kesuma di bawah Steven adalah kad keanggotaan yang diberikan kepada satu juta ahli kesatuan pekerja di seluruh negara dengan nama Kad Pekerja Madani. Untuk yang memiliki kad ini, mereka beroleh diskaun sehingga 30% di lebih 100 syarikat termasuk pasar raya dan jenama popular seperti AEON, Mydin, Giant dan Lotus.

Ya, ritual biasa saya sebelum ‘Jumaat Belanjawan’ itu ialah mengasap kemenyan menilik siapa yang senonoh, dan siapa pula yang tidak. Selepas ditilik lagi ditilik saya ingin melihat Kesuma di bawah Steven beroleh peruntukan besar tentunya. Ini kerana jelas Kesuma di bawahnya tahu menguruskan belanja yang mana patut.

Semua di atas membolehkan kita memuji Kesuma seharumnya. Di bawah Steven Sim ternyata Kesuma ada arah dan ternama. Kita semua tahu Steven dan penjawat awam di kementeriannya buat kerja.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.