Subsidi petrol wajar dikaitkan dengan disiplin pemandu

Subsidi petrol wajar dikaitkan dengan disiplin pemandu

Jika subsidi petrol boleh digunakan untuk membentuk disiplin jalan raya, ia pasti memberi kesan positif yang amat besar.

rosli khan

Keputusan kerajaan untuk mengekalkan subsidi petrol RON95 wajar dipuji. Ia membantu meringankan beban hidup rakyat pada ketika kos sara hidup semakin meningkat. Namun, cara subsidi ini dilaksanakan sama penting dengan kewujudannya.

Subsidi tidak sepatutnya diagihkan secara menyeluruh tanpa syarat; ia seharusnya dikaitkan dengan disiplin pemanduan dan pematuhan undang-undang jalan raya. Kita tidak mahu selepas subsidi ini berjalan, kemalangan seperti yang berlaku di Tol Bukit Kajang berulang.

Pada masa ini, syarat utama hanyalah pemegang lesen memandu yang sah. Syarat ini memastikan hanya pemandu berdaftar layak menuntut subsidi tetapi ia terlalu longgar. Memiliki lesen tidak bermaksud seseorang itu pemandu berdisiplin. Mereka yang kerap melanggar undang-undang jalan raya tetap menikmati manfaat yang sama seperti pemandu patuh peraturan.

Cadangannya ialah menghubungkan kelayakan subsidi dengan rekod pemanduan. Kaedahnya mudah: pemandu yang tiada saman tertunggak atau yang telah menjelaskan semua kompaun layak menikmati subsidi. Sebaliknya, mereka yang masih berdegil dan tidak membayar saman harus dikecualikan.

Prinsipnya jelas: hanya pemandu yang bertanggungjawab wajar diberi ganjaran. Lebih penting, perkara ini bukan sesuatu yang sukar dilaksanakan.

Kerajaan sudah pun mempunyai pangkalan data pemandu yang lengkap dengan rekod saman trafik. Dengan menghubungkan pangkalan data ini kepada sistem subsidi, kelayakan boleh disemak secara automatik di stesen minyak atau melalui tuntutan subsidi secara digital.

Tidak perlu wujud birokrasi baharu, hanya perlukan kesungguhan politik untuk melaksanakannya.

Pupuk budaya tanggungjawab

Mengapa pemandu yang kerap melanggar undang-undang dan membahayakan pengguna jalan raya lain masih berhak mendapat subsidi petrol? Sebaliknya, memberi ganjaran kepada mereka yang berdisiplin adalah langkah kecil tetapi bermakna ke arah mewujudkan budaya pemanduan yang lebih bertanggungjawab.

Pendekatan ini juga mewujudkan keseimbangan antara penguatkuasaan dan insentif. Subsidi menjadi ‘ganjaran’ untuk mereka yang mematuhi undang-undang, manakala tindakan undang-undang tetap menjadi ‘hukuman’ bagi yang ingkar. Dalam jangka panjang, ia dapat mengurangkan pemanduan berbahaya, meningkatkan kutipan saman, dan menggalakkan budaya akauntabiliti di jalan raya.

Dari sudut politik, pendekatan ini juga memberi nilai tambah. Subsidi petrol sering dianggap sebagai langkah populis untuk meraih sokongan. Dengan mengaitkan subsidi kepada disiplin pemanduan, kerajaan dapat menunjukkan bahawa ia dasar yang lebih berprinsip dan berorientasikan tanggungjawab sosial.

Manfaatnya jelas. Pertama, kerajaan dapat meningkatkan hasil kutipan saman trafik apabila lebih ramai pemandu segera melunaskan saman untuk melayakkan diri. Kedua, ia mewujudkan rasa keadilan — yang patuh peraturan diberi penghargaan, yang ingkar pula dikecualikan.

Ketiga, ia menjadikan subsidi sebagai instrumen dasar yang lebih luas, bukan sekadar bantuan ekonomi tetapi juga alat mendidik masyarakat.

Kita semua maklum, jalan raya terkenal dengan pemandu yang cuai, memandu laju, memotong sesuka hati, atau melanggar lampu isyarat. Tingkah laku ini bukan sahaja menyusahkan orang lain malah mengundang bahaya, meningkatkan jumlah kemalangan jalanraya dan melibatkan kehilangan nyawa. Jika subsidi petrol, salah satu perbelanjaan kerajaan terbesar, boleh digunakan untuk membentuk disiplin jalan raya, ia pasti memberi kesan positif yang besar.

Subsidi tidak boleh berdiri sebagai dasar ekonomi semata-mata. Ia mesti diintegrasikan dengan objektif nasional seperti keselamatan, tanggungjawab sivik, dan budaya patuh undang-undang.

Dengan menghubungkan subsidi petrol kepada rekod trafik, kerajaan bukan sahaja membantu rakyat berjimat di pam minyak, tetapi juga membentuk masyarakat yang lebih berdisiplin.

Jika skim subsidi mahu kekal relevan dan dipercayai, ia mesti lebih daripada sekadar bantuan kewangan. Ia perlu menjadi alat untuk membina disiplin dan tanggungjawab bersama — satu ganjaran kecil yang membuka jalan ke arah masyarakat yang lebih berdisiplin dan berbudaya dari segi keselamatan.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.